Thursday, June 17, 2010

Kanu - Terengganu Raih Lima Emas

Skuad Terengganu memahatkan satu rekod kebangsaan dan dua rekod kejohanan ketika meraih lima daripada enam pingat emas yang ditawarkan dalam acara kanu di Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 di Tasik Durian Tunggal semalam.

Rekod kebangsaan dileburkan dalam acara 500m K4 berpasukan wanita menerusi Noor Hafizah, Nurul Farahim, Siti Rajiah Ali dan Noraishah Yahya yang mencatat kepantasan 02:01:310 saat memadamkan rekod lama 2:01:520s untuk meraih emas.

Siti Rajiah pula memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 500m K1 wanita dengan masa 02:22.920s meleburkan rekod lama 2.24:564s yang dicatat pada temasya di Terengganu dua tahun lalu untuk meraih pingat emas buat Terengganu.

Satu lagi rekod kejohanan dicipta dalam acara 500m K4 berpasukan lelaki menerusi gandingan, Khairi Anuwar Mohd., Md. Syafwatuddin, M.Azman Ibrahim dan Mohd. Azlan Ibrahim mencatat kepantasan 01:37.830s.

Catatan itu meleburkan rekod lama 1.38:705s yang dicatat pada Sukma di Terengganu. Dominasi Terengganu berterusan apabila giliran Muhammad Hakimi mencatat kepantasan 01:57.150s untuk emas dalam acara 500m K1 lelaki manakala Noraishah yang bergandingan dengan Nurul Farahim pula menyumbang pingat dalam acara 500m K2 wanita dengan masa 02:14.730s.

Bagaimanapun satu pingat emas dimenangi pendayung dari Perlis menerusi Mohd. Sofiyuddin dan Mohd. Hanizam Ramli dalam acara 500m K2 lelaki apabila mencatat masa 01:47.590s.

No comments:

Post a Comment