Thursday, June 17, 2010

Saudara baru senior jadi ejen sebar ajaran Islam

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu mengambil inisiatif dengan memberi peluang kepada saudara baru bertaraf senior untuk menjadi ejen penggerak penyebaran agama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkim, Mohd Subri Jaafar berkata, setakat ini Perkim negeri berjaya mengumpulkan seramai 57 saudara baru seluruh negeri ini yang betul-betul berjaya, untuk menjadi pembimbing dalam usaha menyebarkan syiar Islam secara berterusan.

“Kita memilih saudara baru yang berkebolehan memberi tunjuk ajar mengenai pemahaman agama Islam dan pengajian al-Quran agar setiap individu yang baru memeluk Islam mempunyai tempat untuk mempelajarinya.

“Ini sebab, kita ingin melahirkan saudara baru berkeyakinan tinggi dan boleh berdikari tanpa bergantung kepada Perkim sahaja untuk menguasai pemahaman Islam,” katanya.

Menurutnya, saudara baru yang telah berjaya ini bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakan yang baru memeluk Islam tetapi akan didedahkan dengan kerja kesukarelaan.

“Ia termasuklah menguruskan majlis keagamaan, program berbentuk kepimpinan dan penyebaran dakwah di setiap kawasan yang dikenal pasti tanpa mengharapkan sebarang ganjaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bengkel pembimbing saudara kita di dewan utama, Motel Desa, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Subri berkata, Perkim juga akan cuba memberi pendedahan kepada saudara baru yang berjaya untuk menjadi ketua dalam program usrah dengan melibatkan kelompok kecil antara lima hingga 10 orang.

“Program usrah ini bukan menekankan ilmu agama sahaja tetapi turut menekankan sikap ambil berat kepada saudara baru yang mempunyai masalah menyesuaikan diri dalam kelompok orang Islam.

“Perancangan ini diharapkan dapat berjalan lancar bagi memastikan usaha dakwah yang dilakukan sebelum ini berjaya disampaikan sebaiknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment