Monday, June 14, 2010

Melayu Bangkit di Stadium Negeri pagi ini

Apakah program Melayu Bangkit pagi ini mampu menarik 10,000 orang seperti diwar-warkan sebelum ini?

Seperti dirancang, Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meneruskan program perhimpunan Melayu Bangkit pagi ini di Stadium Negeri akan meraikan tetamu utama iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Singkatan perkataan Gertak yang digunakan sebenarnya diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud jambatan, bertujuan menghubungkan orang Melayu walaupun berbeza fahaman politiknya.

Bekas Perdana Menteri itu akan memberi ucaptama pada majlis itu.

Sebelum ini Gerak menjangkakan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli-ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program Melayu Bangkit itu.

Gerak dengan kerjasama Institut Integriti Terengganu sebelum ini berusaha menyatupadukan orang Melayu yang semakin renggang dan membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap hak mereka.

Tidak diketahui sama ada rancangan asal iaitu pembacaan sajak ‘Melayu Bangkit’ oleh Ibrahim Mohamad dengan loghat Hulu Terengganu serta sesi soal jawab akan diadakan hari ini.

‘‘Kehadiran Dr. Mahathir akan disambut dengan perarakan oleh tujuh persatuan silat dengan diiringi gendang Melayu. Sehubungan itu, orang Melayu dijemput untuk bersama-sama menghayati ucapan beliau,” katanya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurut Razali, program itu merupakan program kedua Gertak selepas membangkitkan mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam baru-baru ini.

Gerak dan Institut Integriti Terengganu berharap program Melayu Bangkit akan memberi kesedaran terutama kepada belia Melayu tentang peranan mereka memperkasakan masyarakat Melayu dalam era globalisasi.

Ia juga diharap menjadi pencetus motivasi kepada golongan muda kerana mereka merupakan bakal pemimpin pada masa depan.

Pengerusi Gertak, Razali Idris, baru-baru ini berkata program itu yang sebelum ini dijadualkan pada 13 Mei di Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditangguhkan ke hari ini atas faktor keselamatan.

Penangguhan pada saat-saat akhir itu diterima oleh Pengarah Institut Integrasi Terengganu, Arpin Draman kira-kira pukul 2 petang ini setelah dimaklumkan oleh pembantu peribadi kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Difahamkan, pembatalan itu diarahkan oleh Ahmad Said yang menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas nasihat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Katanya, pengisian program itu turut membincangkan isu membabitkan bangsa Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

Gertak berharap hubungan sesama orang Melayu yang mula renggang berikutan perselisihan dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan pendidikan akan kembali bersatu untuk kestabilan negara.

Selain ucaptama Dr Mahathir, program dijadualkan bermula jam 10 pagi itu akan turut menampilkan persembahan pencak silat, deklamasi sajak dan pameran warisan Melayu oleh Lembaga Muzium Terengganu.

Gerak juga meminta mana-mana pihak yang ingin menghadiri program Melayu Bangkit tidak membawa bendera atau lencana parti politik.

Langkah itu diambil bagi mengelak salah faham dan ketidakpuasan hati pihak lain yang bakal menyertai program itu kerana ia bukan perhimpunan rasis atau berniat jahat.

Gertak juga bersepakat dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap misi kemanusiaan ke genting Gaza, Palestin.

No comments:

Post a Comment