Friday, June 18, 2010

Piala Monsun dapat markah tinggi

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, penggerak kepada sukan regata itu, berkata kejayaan Piala Monsun memberi pulangan besar kepada Terengganu dan Malaysia membuktikan potensi perlumbaan di Terengganu dan kesan positif kepada pelancongan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur yang berani memikul cabaran. Ini adalah kejayaan besar kepada Terengganu dan Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas rumusan oleh tiga firma audit bebas - Brand Advantage, Boulder Creek International dan MSC Technology Centre - dalam laporan mereka merumuskan Piala Monsun memberi pulangan besar kepada Terengganu dan Malaysia

Mereka merumuskan Piala Monsun menyumbang pencapaian keseluruhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 97.5 peratus manakala nilai jenama dan acara media itu menyumbang RM538,833,381 kepada Malaysia atau 26 kali ganda pulangan pelaburan.

Angka ini bukan hanya membabitkan nilai media cetak RM24,367,767, nilai media penyiaran antarabangsa (RM270,658,458) dan anggaran perbelanjaan pengunjung (RM7,083,992) tetapi juga termasuk manfaat langsung dan tidak langsung sebagaimana diukur Brand Advantage.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek gembira dengan KPI itu kerana kementerian itu berganding bahu dengan penganjur bagi memastikan kejayaan Piala Monsun.

“Piala Monsun 2010 kurang enam bulan dari sekarang dan harap pencapaian KPI akan bertambah baik. Ia juga membolehkan peserta Malaysia lebih mudah menyertai pertandingan antarabangsa. Kita juga berharap dapat melihat pasukan Malaysia menyertai pertandingan secara kerap dalam siri Jelajah Pelayaran Dunia dalam masa terdekat,” katanya.

Selain sebagai pelayaran pusingan akhir jelajah itu, Piala Monsun adalah gelanggang menentukan pemenang dunia, tahun lalu. Pelayar New Zealand, Adam Minoprio menjadi pelayar muda muncul juara dunia ISAF Match Racing apabila memenangi Piala Monsun di Terengganu.

No comments:

Post a Comment