Friday, June 18, 2010

Selangor hormati Terengganu buru hatrik

Piala Dunia semakin menarik. Pasukan bertanding mahu menempatkan diri di kalangan 16 pasukan yang akan bermain pada pusingan kedua.

Kerana itu permainan yang bermula sejak malam kelmarin semakin menarik.

Namun begitu, di negara kita perlawanan akhir acara bola sepak pada Sukma Melaka XIII tidak kurang hebatnya.

Acara bolasepak malam ini di kemuncaknya apabila Terengganu akan berusaha mencipta kemenangan hatrik apabila bertemu Selangor pada perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah.

Selain itu, pingat emas ini begitu penting buat Terengganu untuk menjaminnya menjadi juara keseluruhan sukan itu selepas melakukannya pada 2006 di Sukma Terengganu.

Dalam acara bolasepak ini, Selangor tidak rela kempunan lagi apabila berdepan Terengganu sambil menyedari Terengganu memiliki segala kelebihan selaku penyandang juara dua tahun lalu.
Namun skuad Merah Kuning tetap mengidam mahu memadamkan badi 12 tahun bergelar juara dalam acara bola sepak Sukma.

Terengganu enggan mendabik dada untuk meraih pingat emas buat kali ketiga berturut-turut kerana lawannya Selangor tetap mempunyai kelebihan. Atas kertas reputasi Terengganu dianggap cukup ampuh apabila menepati ramalan melangkah ke akhir.

Berbekalkan kelebihan tanpa melepaskan sebarang gol sejak perlawanan pusingan awal hingga ke separuh akhir, ia cukup jelas membuktikan betapa benteng mereka cukup kental.

Pengurus Pasukan Terengganu, Ahmad Awang berkata: “Walaupun Terengganu dianggap sebagai pilihan untuk menang emas tetapi suasana perlawanan akhir cukup berbeza berbanding daripada saingan awal. Lagipun, Selangor adalah skuad yang cukup kental dan mereka mara ke akhir kerana mereka tetap mempunyai skuad yang cukup mantap.”

Terengganu melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Tuah, petang kelmarin.

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, barisan skuad Merah Kuning sudah menepati ramalan untuk melangkah ke akhir dan kini kilauan emas perlu direalisasikan bagi mengangkat kembali kehebatan Selangor di Sukma.

“Perjuangan pemain penuh berliku hingga berjaya ke perlawanan akhir cuma saya harapkan kesebelasan utama yang akan turunkan nanti dapat memberikan persembahan terbaik untuk mengekang barisan serangan Terengganu daripada memperoleh sebarang gol,'' katanya semalam.

Selangor menempah aksi ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukma selepas berhempas pulas dan terpaksa menanti hingga ke minit-minit terakhir sebelum jaringan penyerangnya Mohd. Fitri Raduan menewaskan Kedah 1-0 pada separuh akhir semalam.

“Bagi saya Terengganu memiliki segala kelebihan sebagai sebuah pasukan yang cukup ampuh. Mereka tidak melepaskan sebarang gol dan ini membuktikan mereka adalah pilihan untuk menang.

“Tetapi bukan tugas mudah buat Terengganu kerana Selangor juga bercita-cita untuk meraih emas kerana sudah 12 tahun sejak 1998 kita terus tercicir daripada carta kutipan pingat,” katanya.

Sementara itu jurulatih Selangor, P. Maniam melahirkan rasa lega dapat menurunkan kesebelasan terbaik malam esok kerana tidak ada pemainnya yang ditimpa kecederaan.



No comments:

Post a Comment