Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 1,542 pasang sandal Crocs dan 236 helai baju T tiruan yang bernilai RM26,282 selepas menyerbu tujuh buah gerai di tapak karnival Euro Fun Park di Taman Shahbandar dekat Kuala Terengganu malam semalam.
Serbuan diketuai Timbalan Pengarah PPDNKK, Ab. Ghani Harun pukul 8 malam tadi dan turut disertai seramai 25 anggota dan pegawai penguatkuasa.
Katanya, "Ops Gerak Gempur Cetak Rompak dan Barangan Tiruan" itu dijalankan hasil intipan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.
"Pada mulanya kita dapati bilangan kasut tiruan yang dijual tidak berapa banyak, mungkin kerana peniaga hendak menguji pihak berkuasa, namun setelah beberapa hari didapati jumlahnya semakin bertambah sehinggalah kita melakukan operasi ini.
"Siasatan awal kita mendapati kesemua peniaga yang terlibat datang dari negeri pantai Barat dan melambakkan barangan tiruan di negeri ini dengan tujuan mencari pasaran baru," katanya semalam.
''Ini merupakan kali pertama pihak kami merampas sandal tiruan daripada jenama Crocs di negeri ini.
"Karnival ini dibuka sejak beberapa minggu lalu, namun apabila mendapati pihak penguatkuasa tidak menjalankan serbuan, peniaganya berani melambakkan dengan lebih banyak bekalan kasut itu," katanya selepas serbuan itu.
Menurut Ab. Ghani, kesemua peniaga barang tiruan itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu membekal atau menawarkan apa-apa barangan palsu.
Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh didenda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun.
No comments:
Post a Comment