Friday, June 11, 2010

Takaful Malaysia Sasar Tambah Bilangan Ejen

Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) menyasarkan untuk menambah bilangan ejen kepada 1,500 menjelang akhir tahun ini selaras dengan langkah penambahan tiga produk baru pada bulan Mac lepas.

Ketua Pegawai Wilayah Bahagian Pengedaran Peruncitan STMB Wan Azman Wan Mamat berkata dengan pengenalan produk baru itu, iaitu Takaful my Gemilang, Takaful my Graduan dan Takaful my Invest, ia memerlukan lebih ramai ejen terutama di kalangan golongan muda.

"Takaful my Gemilang diperkenalkan untuk pembinaan masa persaraan yang lebih selesa, Takaful my Graduan bagi pelan perlindungan pelajaran anak-anak dan My Invest untuk perlindungan pelaburan dan simpanan.

"Sehubungan itu, kita memerlukan lebih ramai lagi ejen untuk memperkenalkan produk-produk ini kerana didapati golongan muda masih kurang menyedari tentang betapa pentingnya perkhidmatan takaful ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tuntutan bernilai RM123,244.18 kepada seorang penyimpannya, Allahyarham Mahmud Zaudi, 31, yang telah meninggal dunia tahun lepas akibat kemalangan jalan raya.

Cek disampaikan oleh Wan Azman kepada ibu Mahmud, Mariam Mamat, 56, yang menerima cek tersebut bagi pihak isteri Mahmud di cawangan Takaful Malaysia Kuala Terengganu semalam.

No comments:

Post a Comment