Terengganu terus mendominasi acara kanu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 apabila menyapu empat daripada enam pingat emas yang ditawarkan pada hari terakhir acara itu dipertandingkan di Tasik Durian Tunggal, dekat sini.
Pingat emas pertama mereka pada hari terakhir semalam, diperolehi menerusi Siti Rajiah Ali dalam acara 200m K1 dengan catatan masa 56.334 saat.
Pingat perak menjadi milik Jenissa Hilary dari Sarawak dengan masa 1:00.76s, manakala gangsa milik Salwani Ismail dari Perlis dengan catatan masa 1:01.22s.
Siti Rajiah yang kemudiannya berpasangan dengan Siti Farahim Wahab meraih pingat emas dalam acara 200m K2 wanita dengan catatan masa 52.658s untuk mengatasi Nurfitrah Izyani Mispar dan Norhafizah Adnan dari Wilayah Persekutuan yang mencatat masa 55.97s.
Gangsa pula dimenangi oleh Johor menerusi Faizah Firdaus Fauzi dan Farhana Othman dengan 56.338s.
Skuad Terengganu menambah dua lagi pingat emas menerusi kategori 200m K4 berpasukan lelaki dan wanita apabila masing-masing mencatat masa 37.277s dan 47.046s.
Sementara itu, acara 200m K2 dan 200m K1 lelaki pula dimenangi oleh atlet-atlet dari Perlis.
Mohd Hanizam Ramli memenangi acara 200m K1 lelaki dengan catatan masa 45.713s dan kemudiannya bergandingan dengan Mohd Sofiyuddin Ismail memenangi acara 200m K2 lelaki dengan catatan masa 40.851s.
Selepas tiga hari acara kanu Sukma Melaka dipertandingkan, Terengganu mengungguli acara Kanu dengan meraih 12 pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.
No comments:
Post a Comment