Saturday, June 19, 2010

Terengganu hampiri juara Sukma kali kedua berturut-turut

Terengganu sedang mengatasi Wilayah Persekutuan dengan empat pingat emas pada hari terakhir Sukma XIII hari ini yang menawarkan enam pingat emas untuk direbut.

Keyakinan Terengganu untuk mengekalkan kejuaraan semakin terserlah apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kini berada di Melaka untuk memberikan semangat dan perangsang pada hari terakhir kejohanan.

Beliau berlepas ke Melaka pagi ini selepas sehari suntuk sehingga lewat malam menghadiri program pemimpin bersama rakyat di Manir.

Rabu lalu, pada sidang media selepas Mesyuarat Exco, Menteri Besar itu berkata Terengganu memang mempunyai harapan tinggi untuk mengulangi kejayaan di Kuala Terengganu, dua tahun lalu.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri tetap yakin mampu mengekalkan kejuaraan pada Sukma XIII yang kini berlangsung di Melaka.

"Kita harap kita mampu mengekalkan juara Sukma seperti mana yang pernah kita menangi dua tahun lepas," katanya.

Dengan persaingan yang dianggap sengit antara Terengganu dan Wilayah Persekutuan semalam, dua emas diperolehi Terengganu melalui olahraga dan kemudiannya menambah lima lagi sehingga malam semalam.
Terengganu yang mulanya memiliki 42 emas menjadi 47 sementara Wilayah Persekutuan pula mengumpul 43.

Terengganu mengumpul pingat melalui judo - Norsafrina Rahman dalam kategori di bawah 63kg dan Muhd Shaiful Arif bagi lelaki di bawah 81kg – satu melalui lawn bowl (Fateha Asmidar bagi kategori persaorangan wanita) dan dua emas daripada tinju (Wan Mohd Rizuan bagi lelaki di bawah 57kg).

Dan pingat paling berharga dan prestij ialah bolasepak yang mengalahkan Selangor dengan jaringan tunggal bagi membolehkannya mencapai hatrik.

Dengan kedudukan sehingga ini, Terengganu memiliki 47 pingat emas, 29 perak dan 41 gangsa sementara Wilayah kedua dengan 43 emas, 42 perak dand 49 gangsa sementara ketiga ialah Selangior dengan 42 emas, 42 perak dan 56 gangsa.

Melaka sebagai penganjur menduduki tempat kelapan dengan 31 pingat emas, 29 perak dan 28 gangsa.

Harapan Wilayah untuk mengatasi Terengganu bergantung kepada pencapaian mereka hari ini selepas hanya tiga emas dipungut semalam sementara Negeri Sembilan hanya menang empat emas pada hari kedua terakhir.

No comments:

Post a Comment