Menteri Besar menyampaikan komputer riba kepada guru tahun enam – Gambar Zulkifli Putra
Untungnya bekerja sebagai guru di Terengganu.
Mereka bukan sekadar diiktiraf melalui hadiah kecemerlangan seperti tokoh guru dan lawatan ke luar negara tetapi lebih daripada itu.
Komitmen yang dibuat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagi ganjaran untuk guru bertujuan mengekal dan meningkatkan lagi rekod pencapaian dan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.
Kerajaan Negeri mengumumkan ia bersedia memberi ganjaran lebih besar kepada guru terbaik di negeri itu jika berjaya mengekalkan kecemerlangan selama sepuluh tahun berturut-turut dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tiga tahun berturut-turut bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ahmad Said sendiri berjanji bentuk ganjaran itu adalah tambahan jumlah kuota tajaan kepada guru terbaik melibatkan lawatan sambil melancong ke luar negara.
Selain itu, bagi menghargai jasa seramai 21,375 guru di seluruh Terengganu sempena sambutan hari guru pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta bagi menyerahkan tanda penghargaan atau ‘appreciation token’ kepada guru sebagai pengiktirafan.
“Tempahan ini telah dibuat dan kita jangka akan menyerahkan bermula di Kemaman pada awal Jun dan kemudian di daerah berikutnya selepas itu. Kita dimaklumkan di Kemaman penyerahan ‘appreciation token’ akan membabitkan hampir 3,000 guru,” katanya.
Selain dua insentif itu, guru-guru tahun enam juga bertuah kerana menerima komputer riba dan kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1.3 juta bagi tujuan itu.
Pemberian julung-julung kali dan mungkin pertama di Malaysia ini dilakukan apabila sebanyak 800 buah komputer diagihkan kepada guru-guru sebagai penghargaan dan pengiktirafan buat mereka.
Menurut Ahmad Said, komputer riba atau e-Book ini adalah cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri atas komitmen memastikan negeri Terengganu terus terbilang dalam penddikan.
Penyerahan e-Book kepada guru sekolah rendah berkenaan akan digunakan bagi membantu meningkatkan tahap pembelajaran calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Sehingga ini kira-kira 25,000 buah e-Book diagihkan kepada murid tahun lima pada tahun lepas yang mana mereka memasuki tahun enam pada tahun ini.
''Kita tidak mahu murid-murid menggunakan komputer manakala guru menggunakan buku. Dengan pengagihan e-Book ini akan membantu memantapkan keupayaan guru dalam mendidik murid-murid dalam mencapai kecemerlangan dalam UPSR nanti," katanya.
Kerajaan negeri juga sudah melatih guru-guru untuk menggunakan kaedah 'secara talian' untuk pantau murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran dan juga peperiksaan.
Kerana itu kini ada peperiksaan online dan setiap bulan akan ada latih tubi peperiksaan secara online.
Dalam konteks e-Book ini, sebanyak 50,000 buah lagi e-Book akan diagihkan kepada murid tahun empat dan lima tidak lama lagi. Dijangkakan, pengagihan kira-kira 25,000 e-Book untuk murid tahun lima akan mula diedar bulan ini manakala untuk murid tahun empat pada Julai nanti.
Mengenai lawatan untuk guru, ketika ini hanya 24 guru terbaik telah dihantar ke luar negara di mana tiga guru dipilih bagi setiap daerah.
Berikutan itu, Ahmad Said menegaskan, jika kecemerlangan dalam UPSR dapat dikekalkan untuk tahun kesepuluh, kerajaan negeri bersedia menghantar seramai 50 guru terbaik ke Australia tahun depan.
Selain itu, andai kata kecemerlangan dalam PMR dan SPM juga dapat dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut, seramai 50 guru terbaik juga akan dihantar ke luar negara.
Namun, lokasi masih belum ditetapkan. Pada Jun ini seramai 15 pegawai JPNT akan dihantar melawat ke Eaton School, London selama lima hari bagi melihat proses dan suasana pembelajaran di sana.
No comments:
Post a Comment