Wednesday, July 21, 2010

13,000 Rumah Mampu Milik Menjelang 2013

Menteri Besar menyampaikan kunci kepada salah seorang penghuni petang semalam.

Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk membina 13,000 unit rumah mampu milik menjelang 2013 bagi memastikan semua rakyat negeri itu memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata semua rumah yang dibina itu dianggarkan menelan
kos RM800 juta dengan keluasan lebih 800 kaki persegi untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

"Pada masa ini, sebanyak 6,555 unit rumah mampu milik sedang dalam proses pembinaan, dan menjelang tahun 2013 kita sasarkan sebanyak 13,000 unit rumah itu akan siap.

"Bilangan unit rumah itu tidak termasuk peruntukan yang diberikan kerajaan pusat untuk membina 1,002 lagi unit rumah yang sama dengan kos sebanyak RM100 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah Pangsapuri Ladang Gemilang 1 kepada 90 penyewa dan upacara pecah tanah Pangsapuri Ladang Gemilang 2 di Kuala Terengganu, petang semalam.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan. Ahmad Said berkata kerajaan negeri sentiasa
berusaha memastikan rakyat Terengganu mampu menikmati pembangunan, termasuk memiliki rumah sendiri walaupun mereka berpendapatan rendah.

"Kita tidak mahu golongan berpendapatan rendah ini terpinggir hidup di bandaraya, dan sebab itu, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membina rumah dan menjualnya kepada rakyat dengan harga subsidi," katanya.

Beliau berkata bagi projek Pangsapuri Ladang Gemilang 1 yang merangkumi 192 unit kos rendah dan 88 unit kos sederhana, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM35 juta bagi menyusun semula penempatan penduduk Kampung Ladang dalam program pembangunan semula bandaraya.

"Untuk permulaan, pangsapuri ini kita akan jadikan sebagai rumah transit penduduk Kampung Ladang dan ia disewakan RM300 sebulan bagi kos rendah dan RM850 sebulan untuk kos sederhana," katanya.

Ahmad Said berkata projek itu dapat membantu penduduk setempat, terutama golongan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin, mendapat rumah sewa pada kadar yang rendah di kawasan bandar, sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka.

No comments:

Post a Comment