Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Kampung Padang Hangus, Tepoh dekat Kuala Terengganu yang menyebebkan seorang lelaki maut akibat dibelasah malam Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Supt K Manoharan berkata Rabu, lima daripada mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Padang Hangus, Isnin lalu.
Katanya, dua orang lagi yang berasal dari Kampung Batu Lapan dan Banggol Tok Jiring ditahan ketika membuat laporan di balai polis daerah Kuala Terengganu, semalam.
Manoharan berkata, kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 48 tahun ditahan reman sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Katanya, polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh dan juga Seksyen 302 kerana membunuh.
"Kita yakin dengan tertangkapnya tujuh mereka yang disyaki terlibat itu, kes ini dianggap sudah selesai," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam kejadian pergaduhan pada kira-kira 10.30 malam Jumaat lepas, seorang buruh Wan Sukri Wan Temirang, 34, mengalami cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapat rawatan.
Bagaimanapun, mangsa yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu, meninggal dunia pada kira-kira 2.30 petang Isnin lepas.
No comments:
Post a Comment