Utusan Malaysia 20 Julai 2010
SISA runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan yang memberi gambaran menjengkelkan sejak lebih setahun lalu, akhirnya akan dialih dan dibersihkan tidak lama lagi oleh kontraktor yang dipilih.
Kerja itu dijangka mengambil masa empat bulan bagi membolehkan kerja membaik pulih dengan reka bentuk bumbung baru dalam usaha memastikan insiden itu tidak berulang.
Ia akan melenyapkan persepsi yang tidak menyenangkan terhadap kerajaan dan negeri Terengganu, dengan projek yang dikaitkan dengan kecacatan kejuruteraan dan kelemahan pengurusan oleh pihak pengendali projek.
Bagi mereka yang pertama kali ke negeri ini, projek gah yang bertukar wajah, bagaikan dilanda gempa itu menjadi tatapan awal dan mencetuskan tanda tanya sejurus mendarat di lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Namun selain itu ada yang masih menggempa dalam politik UMNO di negeri ini dan berlarutan begitu lama sehingga retak-retak yang cuba ditampalkan untuk diperkukuhkan bagaikan kembali melebar, jelas dan nyata.
Ia ditunjukkan di Setiu dengan ketidakhadiran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu baru-baru ini ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diundang merasmikannya.
Kesemua ADUN dalam bahagian itu, iaitu Ramlan Ali (ADUN Jabi), Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), di samping dua orang anggota Exco kerajaan negeri, Khazan Che Mat (ADUN Batu Rakit) dan Asha‘ari Idris (ADUN Langkap).
Ketua UMNO Bahagian itu diterajui oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie manakala Asha‘ari selaku timbalan dan Abd Halim (naib ketua).
Muhyiddin secara berterus terang menyatakan dukacita dengan sikap yang ditunjukkan oleh kesemua wakil rakyat dalam bahagian Setiu itu kerana ia tidak membantu ke arah pengukuhan parti.
Apatah lagi ia boleh memberikan gambaran tidak baik bagi UMNO dan kerajaan negeri apabila sikap mereka mungkin ditafsirkan oleh umum sebagai membelakangi dan tidak menghormati pucuk pimpinan parti.
Muhyiddin dalam ucapannya mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berusaha menyelesaikan segera permasalahan dalaman sekiranya berbangkit bagi mengukuhkan parti jika mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan parti.
Mereka mempunyai alasan sendiri untuk tidak hadir dan bagi mereka ia bukanlah isu yang remeh-temeh, isu yang menyentuh masa depan sebagai wakil rakyat dan masa depan UMNO negeri itu sendiri.
Mereka mahu memperlihatkan kepada pucuk pimpinan tentang permasalahan dalaman parti yang masih bergelora tidak dipendamkan begitu sahaja biar pun diberi gambaran keadaan sudah begitu tenang.
Ramlan berkata, ia diharap membolehkan satu pendekatan yang benar-benar serius diambil untuk menangani masalah berkenaan oleh pimpinan negeri dan bahagian.
Katanya, tindakan mereka berempat bukan sebagai protes kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat dihormati tetapi bagi memberi gambaran jelas tentang keadaan yang berlaku dan perlu diberi perhatian.
‘‘Memang di mana-mana pun ada masalah tetapi tidak sebagaimana di bahagian Setiu apabila peranan wakil-wakil rakyat sebagai pemimpin setempat semacam cuba terus diperkecilkan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ramlan, pihaknya telah memaklumkan lebih awal kepada Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO mengapa mereka tidak dapat hadir.
‘‘Kita nak tunjukkan keadaan sebenar kerana kita sudah merayu kepada Pengerusi Badan Perhubungan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan pimpinan perhubungan lainnya agar selesaikan segera keadaan yang tidak menyenangkan,” ujarnya.
Beliau antara lain merujuk kepada langkah pihak bahagian yang mengetepikan wakil-wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan negeri dengan tugas yang bertindan."Ini saya rasa tidak berlaku di bahagian-bahagian lain walaupun mungkin ada pergeseran kerana akan mewujudkan dua nakhoda dalam satu Dewan Undangan Negeri,” ujar beliau.
Ia juga mungkin menyentuh soal pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) dan anggota Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) yang dikatakan tidak diletakkan di bawah bidang kuasa mereka, di samping kewujudan Pejabat Parlimen dalam keempat-empat DUN.
Katanya, beliau sendiri telah berusaha menjernihkan keadaan dalam perjumpaan dengan kepimpinan negeri dan bahagian malah memohon maaf kerana turut mencabar kepimpinan bahagian dalam pemilihan lalu.
Isu yang tercetus adalah saki baki perpecahan dalam kepimpinan UMNO negeri ekoran pelantikan Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar dan memaksa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil alih teraju Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk memulihkannya.
Semoga persaingan kuasa dan kedudukan tidak menjejaskan usaha membela nasib rakyat dan bagi mereka yang mencintai perjuangan UMNO tentunya akan kecewa.
Seperti biasa mereka akan memberi ingatan klise – jangan gadaikan masa depan parti dan bangsa dalam mengejar matlamat peribadi.
Parti saingan, PAS hanya mempunyai kelebihan berasaskan perpecahan dalam UMNO untuk dijaja kepada rakyat dan ia sedang mencongak semula jumlah kerusi untuk dimenangi. Mereka cukup seronok kini.
No comments:
Post a Comment