Saturday, July 10, 2010

Apabila Ahmad Said mencabar orang muda...

Oleh Pok Teh Bakap

Bercakap dengan orang muda – Puteri dan Pemuda UMNO - memerlukan keyakinan dan kesungguhan menyatakan harapan dan matlamat.

Juga, dengan mereka mesti ada visi dan pelan tindakan. Bukan khayalan kosong atau angan-angan Mat Jenin.

Ahmad Said bukan jenis bercakap ikut rasa. Dia bercakap ikut perancangan dan keyakinan.

Ada yang mungkin mengatakan Menteri Besar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu sengaja mahu sensasi atau ‘cakap besar’.

Hakikatnya Ahmad Said berusaha memberikan keyakinan kepada golongan muda bahawa jika kerja keras, tulus dan sokong-menyokong, usaha dan matlamat mempertahankan kerusi serta megambil balik kerusi yang tewas di tangan PAS bukan omong kosong.

Bagi Ahmad Said, tiada yang mustahil dalam politik. Yang tidak terfikir terjadi pun akan terjadi.

Kerana itu Ahmad Said yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dan Batu Burok pada pilihan raya umum akan datang.

Syaratnya jika semua wakil rakyat kerap turun padang.! Itu syaratnya. Kenapa? Bukan sahaja mampu bekerja keras tetapi menunjukkan contoh yang baik di mata rakyat.

Ahmad Said berkata, tidak mustahil untuk UMNO dan BN mencapai kemenangan di dua kawasan itu walaupun ia kubu kuat PAS.

Realitinya, dalam Parlimen Kuala Terengganu, hanya terdapat dua DUN yang susah untuk BN menang iaitu Wakaf Mempelam dan Batu Burok. “Bagaimanapun, tidak mustahil kita boleh menang di dua kawasan ini dengan syarat semua wakil rakyat perlu turun padang dan bekerja lebih keras.”

“Malah jika mampu berbuat demikian, kita juga boleh merampas kembali DUN Ladang, Ru Rendang, Manir, Bukit Tunggal, Sura dan Bukit Payong,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika merasmikan majlis makan malam dan ramah mesra bersama ahli jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu malam kelmarin (Rabu 7 Julai 2010).

Menurut laporan Sinar Harian, Ahmad Said menegaskan, dalam bekerja keras untuk meraih kemenangan, jentera UMNO juga perlu memastikan kemenangan sedia ada perlu dipertahankan.

:Ahmad Said berharap turut berharap Pemuda dan Puteri UMNO dapat membantu di peringkat cawangan mengemas kini dan mengenal pasti penerima Dana Bakti Remaja 2010 yang masih belum mendaftar sebagai ahli sayap parti dan sebagai pemilih.

Katanya, daripada keseluruhan jumlah penerima Dana Bakti Remaja pada tahun ini yang berjumlah 97,366 orang, segolongan kecil daripada mereka dikenal pasti masih belum mendaftar terutama sebagai pemilih.

Dalam pada itu, sempena majlis berkenaan, Ahmad turut menyempurnakan prapelancaran Geng13 (G13).

Menerusi program yang dikendalikan Pergerakan Pemuda UMNO itu, seorang ketua akan dilantik untuk menjaga dan memantau 13 ahli Pemuda di setiap cawangan dan peti undi.

Amat jelas, cabaran sudah diletakkan oleh Ahmad Said kepada Puteri UMNO dan Pemuda UMNO.

Apakah langkah Ketua Puteri UMNO Terengganu, Asfalinda Anuar dan Ketua Pemuda UMNO Negeri, Saiful Bahri Baharudin seterusnya?

No comments:

Post a Comment