Sunday, July 11, 2010

UMNO Perlu Kenal Pasti Dan Dekati Pengundi Yang Masih Belum Daftar

Faktor kesuntukan masa dan anggapan proses daftar pemilih sebagai susuatu yang tidak penting, dikenal pasti sebagai punca mengapa ramai pengundi yang layak masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata UMNO akan mengubah pendekatan dalam menarik orang ramai mendaftar sebagai pemilih sebelum berlangsung pilihan raya umum ke-13 nanti, dengan memberi keutamaan kepada dua kumpulan ini.

Katanya anggota UMNO perlu meningkatkan usaha itu dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, menjelajah semua sektor, kilang-kilang dan sebagainya untuk mendekati kumpulan ini.

"DAP bulan lalu (Jun) sahaja mendaftar 13,000 pengundi (baru), sedangkan UMNO hanya daftar 7,000 hingga 8,000 sahaja," katanya semalam.

Menurutnya UMNO ketika ini mempunyai 4.3 juta pemilih berdaftar di seluruh negara, dan usaha kini ditumpukan kepada 1.9 juta penduduk Melayu yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Terdahulu Shafie merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Jerteh,semalam.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain yang juga Anggota Parlimen Besut.

No comments:

Post a Comment