Pengarah BPA Kelantan dan Terengganu Wee Lip Ping berkata aduan yang biasa diterima oleh pihaknya adalah kelewatan atau tiada tindakan dan perkhidmatan tidak memuaskan agensi-agensi dan jabatan kerajaan.
"Dikira dari segi peratusan, tiada tindakan 52.58 peratus manakala perkhidmatan tidak memuaskan 15.8 peratus," katanya kepada pemberita semasa Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) bersama agensi kerajaan di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata kebiasaannya masalah kelewatan atau tiada tindakan itu adalah disebabkan sesuatu perkara itu tidak diberi maklum balas segera oleh agensi yang terbabit sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati.
Melalui BPA, katanya pihaknya akan memberikan nasihat serta cuba menyelesaikan setiap permasalahan sebaik mungkin yang boleh agar masalah yang membelenggu masyarakat dapat diselesaikan.
Wee berkata sepanjang tahun lepas, BPA menerima 745 aduan dan kesemua kes dapat diselesaikan dengan kerjasama daripada agensi-agensi yang berkenaan.
"Setakat ini jabatan yang ada hubungan dengan orang ramai yang banyak diadukan kepada BPA dan kita cuba mencari jalan penyelesaian segera dengan agensi berkenaan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Terengganu Wan Nawawi Ismail berkata KABB adalah satu permulaan kepada BPA untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.
Kaedah ini dilihat releven kerana ia bukan sahaja dapat membantu masyarakat malah kewujudan KABB adalah satu sistem pengurusan lebih telus kerana aduan boleh dibuat secara percuma dan diselesaikan segera.
Beliau berharap KABB akan meningkatkan kualiti awam serta mewujudkan sikap saling memahami antara masyarakat dan jabatan kerajaan.
"Kerana itu, masyarakat perlu meletakkan kepercayaan kepada setiap pegawai dan jabatan agar aduan yang dibuat dapat diselesaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment