Thursday, July 1, 2010

Kontraktor Bersih Sisa Runtuhan Bumbung Stadium Dipilih Minggu Depan

Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu dijangka akan dijalankan sebaik sahaja Lembaga Perolehan Negeri Terengganu memilih kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja itu minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Prof Judin Abdul Karim berkata jabatan itu sedang menyenarai pendek beberapa kontraktor daripada 48 kontraktor yang mengemukakan cadangan masing-masing.

"Oleh kerana kerja-kerja itu sangat rumit, Mei lepas JKR Terengganu merujuk kepada ibupejabat JKR bagi mendapatkan nasihat pakar teknikal yang berkaitan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.


Pada Selasa, Menteri Besar Terangganu Datuk Ahmad Said menyuarakan rasa malu dengan keadaan stadium itu, yang sejak bumbungnya runtuh pada 2 Jun tahun lepas sehingga kini masih belum dibersihkan mahupun dibaiki.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung itu masih tertangguh walaupun pihak JKR memaklumkan bahawa tender kerja-kerja itu sudah dibuka.
Judin berkata kerja-kerja pembersihan runtuhan perlu dilakukan dengan teliti dan cermat bagi memastikan keselamatan struktur stadium dan keselamatan pekerja terjamin.

"Prosedur dan turutan kerja pengalihan serta pembersihan adalah sangat kritikal kerana ia boleh menjejaskan kestabilan struktur. Ini memerlukan kontraktor yang berkemampuan, mempunyai kebolehan dan memenuhi syarat-syarat sahaja yang layak dipertimbangkan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

No comments:

Post a Comment