Pasaran produk tempatan mempunyai nilai tersendiri dan melalui strategi pemasaran yang betul, usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) mampu menjana pendapatan mereka dengan lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, Pekan Budaya Kemaman adalah platform terbaik bagi pengusaha IKS memasarkan produk mereka selain mencari peluang rakan niaga baru.
“Pada pekan budaya kali ini, pengusaha IKS boleh menonjolkan kelebihan produk mereka untuk menarik perhatian pengunjung sekali gus menjana ekonomi baru bagi pengusaha IKS di daerah ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pekan Budaya Kemaman 2010 di Padang Astaka, Chukai.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Kamil Othman dan turut dihadiri lebih 1,000 pengunjung lain.
Menurutnya, Pekan Budaya bukan sekadar menonjolkan seni dan budaya negeri berikutan penganjurannya memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
“Saya difahamkan lebih 40 gerai dan tapak pameran membuka perniagaan ma-sing-masing. Ini memberi ruang kepada peniaga IKS mencari ruang baru di pasaran terbuka,” katanya.
Menurutnya, penganjuran Pekan Budaya Kemaman 2010 memberi petanda pesatnya ekonomi di negeri ini sehingga aktiviti ini berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Ini satu manifestasi yang menonjolkan kemajuan pesat yang dimiliki Daerah Kemaman,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus membantu pengusaha IKS asalkan mereka menunjukkan kesungguhan memasarkan produk dengan pelbagai cara.
Pada majlis berkenaan, Mohamed turut menyampaikan cenderahati kepada semua pihak yang menjayakan Pekan Budaya Kemaman, melawat lebih 40 tapak gerai dan pameran serta beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
No comments:
Post a Comment