Saturday, July 24, 2010

Dua Beradik Maut, Abang Parah Dalam Kemalangan Babitkan Motosikal Di Manir

Dua beradik maut manakala abang mereka cedera parah dan koma selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Padang Macang, Manir malam semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira 8 malam itu meragut nyawa Mohd Arif, 9, dan adiknya Mohd Firdaus, 4, manakala abang mereka Mohd Masril Mat Ludin, 14, yang cedera parah dan koma, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Tiga beradik itu dipercayai menaiki sebuah motosikal dari Pekan Manir ke Pulau Bahagia, sebelum dilanggar sebuah kereta yang cuba mengelak seekor lembu dari arah bertentangan.

Ibu tiga beradik itu Ramlah Ismail, 41, yang berasal dari Padang Tengir di sini, berkata anaknya Mohd Masril sering menghantar adiknya Mohd Arif ke kelas malam di Sekolah Kebangsaan Beladau Kolam setiap kali hujung minggu.

Bagaimanapun, beliau berkata pada malam semalam, Mohd Firdaus ingin mengikut kedua-dua abangnya.

Ramlah berkata beliau menyedari kejadian itu kira-kira 9 malam setelah diberitahu rakan Mohd Masril yang melihat motosikal anaknya dilanggar kereta.

"Masa itu saya dah agak mereka terlibat dalam kemalangan, tapi saya sangka mereka hanya cedera ringan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini pada Sabtu.

Beliau berkata Mohd Masril biasanya akan menggunakan jalan kampung untuk menghantar adiknya ke sekolah yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya itu.

"Sebaik sahaja saya menerima berita daripada rakan Masril, saya terus ke tempat yang dikatakan itu, tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat dua anak saya telah meninggal (dunia) manakala Masril telah dihantar orang ke hospital," katanya.

Jenazah kedua-dua anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Tengir, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment