Saturday, July 24, 2010

Jabatan Perhutanan Terengganu Banteras Kegiatan Pembalakan Haram

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berjaya mematahkan kegiatan pembalakan haram secara kecil-kecilan di kawasan Air Puteh, Kemaman minggu lalu.

Pengarahnya Datuk Nur Akhiruddin Mahmud berkata dalam operasi penguatkuasaan itu pihaknya berjaya merampas 20 batang pokok balak yang telah siap dipotong untuk dibawa keluar di kawasan tanah kerajaan kira-kira lima kilometer dari jalan besar di kawasan tersebut.

"Hasil maklumat orang ramai, seorang lelaki dalam lingkungan umur 40-an telah ditahan, turut dirampas dua buah lori, sebuah motosikal dan sebuah jengkaut yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pembalakan haram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanam Pokok oleh Warga Perhutanan di kawasan Pantai Bukit Keluang, Besut hari ini..

"Siasatan masih dijalankan sebelum mendakwa lelaki berkenaan di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 jika dia didapati terlibat," katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah memperluaskan penubuhan unit penguatkuasaan di samping menubuhkan pasukan 'flying skuad' di setiap daerah bagi mengatasi kegiatan pembalakan haram.

Katanya, langkah itu termasuk pembinaan pondok memerhati, pembinaan parit dan mendirikan pagar di kawasan pembalakan bagi menghalang balak dibawa keluar secara haram daripada hutan.

Sementara itu ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata Terengganu masih mempunyai kawasan hutan kekal hampir setengah juta hektar dengan 170,000 hektar telah diwartakan sebagai hutan perlindungan dan 300,000 hektar lagi sebagai hutan berkekalan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga kini pihaknya telah menanam sebanyak 25,000 batang pokok di seluruh Terengganu bagi mencapai sasaran sebanyak 65,000 pokok untuk tahun ini.

Katanya, Terengganu telah diberi tanggungjawab menanam 1.8 juta pokok menjelang tahun 2015 dengan mengutamakan kawasan lapang termasuk di kawasan perumahan dan di tepi pantai.

No comments:

Post a Comment