Kapal RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu hampir siap sepenuhnya di Kay Marin, Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, semalam. - Utusan Malaysia
Lokasi bagi penempatan kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhampiran pantai di Mengabang Telipot di Kuala Terengganu mempunyai kaitan dengan rentetan sejarah silamnya yang bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.
Melalui proses penstrukturan dan transformasi sebagai sebuah universiti awam, ia masih memberi penekanan sebagai pusat penyelidikan dan penerokaan ilmu berasaskan sumber alam yang terbentang luas.
Dalam usaha memperkukuhkan peranannya bagi melahirkan tenaga kerja profesional serta menyumbangkan ke arah pembangunan negara, beberapa perancangan sedang digerakkan termasuk memiliki sebuah kapal penyelidikannya yang sendiri.
Dinamakan Research Vessel Discovery (RV Discovery) yang mencecah kos RM13 juta, ia dijangka diluncur dari limbungan Kay Marin di Kuala Terengganu tidak lama lagi dan merupakan kapal pertama di negara ini khusus bagi penyelidikan oseanografi.
Bidang penyelidikan oseanografi masih dianggap baru di negara ini namun peranan yang dimainkan oleh universiti berasaskan marin dan akuakultur itu memberi sinar baru kepada bidang yang belum begitu luas diteroka oleh anak bangsa.
Langkah UMT membina RV Discovery mungkin boleh dianggap satu titik permulaan kepada penyelidikan secara mendalam di samping meletakkannya sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidangnya.
Malah ia bagi memastikan tagline 'Terokaan Seluas Lautan' UMT bukan sekadar paparan dengan wujudnya kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan bagi kemudahan tenaga penyelidik dan mahasiswa terutama jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim dan Teknologi Maritim.
Kapal ini yang dilengkapi dengan peralatan terkini setanding dengan kapal penyelidikan dengan kemampuan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan membolehkan masa lebih panjang berada di lautan.
Ini termasuklah peta elektronik, alat bantuan perjalanan, pengukur kedalaman air, pengesan haba dan suhu air di samping alat dengar yang mampu berfungsi walaupun sejauh 30,000 meter di dasar laut.
Ia turut dibekalkan dengan alat beban yang mampu mengangkat dan menurunkan beban seberat lima tan pada satu-satu masa.
Dalam aspek keselamatan, ia dilengkapi sistem pemadam kebakaran pyrogen, juga kemudahan rawatan air masin untuk bekalan minuman selain makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul.
Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, RV Discovery direka bagi memuatkan 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin yang selesa.
"Selama ini untuk menyiapkan sesuatu penyelidikan, UMT terpaksa menyewa bot atau kapal dengan kos RM15,000 sehari.
Lazimnya sekadar untuk beberapa hari sahaja," ujarnya.
Katanya, walaupun kos membina kapal tersebut dilihat agak besar, namun mereka tiada pilihan kerana tiada kapal penyelidikan yang sesuai.
"Lazimnya masalah yang kita lalui sebelum ini ialah kapal sedia ada tidak mampu untuk belayar jauh di mana kebiasaannya hanya pada jarak 60 kilometer dari darat selain terpaksa bekerja siang dan malam bagi menjimatkan kos pengangkutan.
"Apa yang penting dengan adanya kapal ini, kita juga dapat menjalankan penyelidikan dengan lebih selesa, pergi lebih jauh dan lebih lama apabila mempunyai kemudahan lengkap," katanya ditemui di UMT di Kuala Terengganu, kelmarin.
Katanya, RV Discovery direka khas oleh warga kerja UMT untuk keperluan sebenar dan ia kelak boleh turut dimanfaatkan oleh pihak lain untuk bersama dalam melakukan pelbagai bentuk penyelidikan.
Beliau berharap, penemuan oleh pihak universiti kelak dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negara berhubung langkah-langkah pemuliharaan, pendidikan, penjanaan ekonomi dan lain-lain.
Pembinaan RV Discovery yang bermula September 2008 turut memberi cabaran besar kepada syarikat tempatan yang diberi tanggungjawab itu bagi menyiapkannya dengan sempurna mengikut jadual.
Bukan sekadar faktor menggunakan tenaga kerja tempatan yang belum berpengalaman membina kapal sedemikian namun faktor cuaca dan keadaan limbungan turut memberi tekanan.
Mengikut jadual asal, ia sepatutnya siap bulan lalu dan sehingga kini tahap kemajuannya mencapai 95 peratus.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment