Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyediakan alternatif baru bagi mengatasi masalah parkir kereta di bandar ini.
Datuk Bandar Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata alternatif baru itu ialah menyediakan teduhan kepada pejalan kaki selain membina sebuah parkir bertingkat di Jalan Batas Baru, di sini.
"Kita harap apabila ada teduhan ini orang ramai tidak ada masalah lagi untuk parkir jauh dari lokasi yang ingin dikunjungi seperti sekarang," katanya hari ini.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi imej bandaraya Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya pesisir air.
"Sebagai langkah pertama, kita merancang akan melaksanakannya di Jalan Sultan Ismail sehingga ke simpang Hotel Seri Malaysia," katanya.
Adzlan berkata pihaknya mengharapkan kerjasama daripada orang ramai supaya mematuhi arahan tidak meletak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurutnya pihaknya sentiasa menjalankan operasi dan mengambil tindakan tegas, termasuk menyita motosikal-motosikal yang diletak di kaki lima kedai.
No comments:
Post a Comment