Kerajaan akan menggabungkan kepakaran terutama dari universiti tempatan untuk meneroka peluang ekonomi dari laut untuk dibangunkan sebagai sumber baru ekonomi negara pada masa depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata kerajaan memberi penekanan terhadap pembangunan sains marin yang dilihat mempunyai potensi besar dari segi ekonomi.
Beliau berkata sektor berkenaan ketika ini kurang diterokai sedangkan sebagai negara maritim, masih banyak peluang boleh diperolehi dari laut, seperti makanan, perubatan, kecantikan dari rumpai-rumpai laut dan sebagainya.
"Selain itu, sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti geoterma juga perlu dimanfaatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedua Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP 2009) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datin Paduka Prof Dr Khatijah Yusof, Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman dan Setiausaha Bahagian, Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) Prof Dr Nor Aieni Mokhtar.
Seramai 60 saintis dalam negara dan dari luar termasuk dari Indonesia, Australia dan Kanada menyertai seminar dua hari itu.
Fadillah berkata setakat ini Mosti menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mei lalu, dan terbaru dengan UMT dalam mengembangkan sektor sains marin negara.
"Universiti-universiti ini bukan sahaja menyediakan kepakaran, malah turut menyediakan peralatan dan teknologi bersesuaian, contohnya UMT bakal menggunakan kapal penyelidikan sendiri, RV Discovery untuk ekspedisi saintifiknya," katanya.
Sementara itu katanya ekspedisi Saintifik akan datang dirancang untuk diadakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dijangka disertai lebih ramai penyelidik, membabitkan lebih banyak agensi.
Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman antara UMT dan NOD dalam menjalin kerjasama melaksanakan program-program penyelidikan sains marin dan oseanografi untuk dimanfaatkan kedua-dua pihak, turut ditandatangani.
Antara objektif utama persefahaman selama tiga tahun itu ialah kerjasama untuk perkembangan baru Institut Oseanografi Malaysia menggunakan kemudahan yang ada pada MOSTI dan UMT.
Kerjasama juga akan dilakukan dalam pembangunan dan pembiayaan bagi program-program oseanografi dan pelayaran saintifik menggunakan kapal penyelidik UMT, RV Discovery.
Fadillah turut melancarkan portal Pusat Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NODC) oleh NOD yang merupakan inisiatif baru dlam pengumpulan data dan maklumat berhubung sains marin dan oseanografi negara.
No comments:
Post a Comment