Thursday, July 1, 2010

Kerajaan Terengganu Belum Terima Laporan Untuk Baiki Stadium Runtuh

Kerajaan Terengganu tidak dapat membuat keputusan untuk membaikpulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh selagi tidak menerima laporan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata walaupun jawatankuasa tender terletak di bawah kerajaan negeri, kerajaan tidak dapat membuat keputusan selagi laporan penilaian dari JKR tidak diterima.

"Memang mereka (JKR) serah kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan membaiki stadium itu, tetapi kalau laporan penilaian yang dibuat JKR tidak diterima, bagaimana kami mahu buat keputusan.

"Kita kena ikut laporan yang mereka (JKR) buat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata sehingga kini kerajaan negeri belum menerima laporan yang diperlukan untuk membolehkan Lembaga Tender kerajaan negeri bersidang.

SSMZA siap dibina dengan harga kira-kira RM292 juta untuk kejohanan Sukan Malaysia ke-12 pada 2008.

Bumbung utama stadium itu runtuh 2 Jun tahun lepas setelah setahun stadium itu digunakan.

No comments:

Post a Comment