Wednesday, July 14, 2010

Kerja Bersih Bumbung Stadium Bermula 26 Julai

"Dalam tender berkenaan kita sebut bahawa barang-barang atau sisa runtuhan bumbung berkenaan akan jadi hak milik syarikat berkenaan dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan bayaran kepada kontraktor yang membuat kerja-kerja pembersihan itu.Dia cuma tolong bersih sahaja dan sisa runtuhan itu menjadi milik mereka." - Datuk Mazlan Ngah

Kerja-kerja membersih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh pada 2 Jun tahun lepas akan dimulakan pada 26 Julai ini dan dijangka siap pada 14 November depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd telah diberi kontrak bagi membuat kerja-kerja berkenaan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kerajaan negeri.

"Dalam tender berkenaan kita sebut bahawa barang-barang atau sisa runtuhan bumbung berkenaan akan jadi hak milik syarikat berkenaan dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan bayaran kepada kontraktor yang membuat kerja-kerja pembersihan itu.

"Dia cuma tolong bersih sahaja dan sisa runtuhan itu menjadi milik mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) sempena kunjungan rombongan Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu Thana bersama rombongannya termasuk Konsul Jeneral Thailand di Kota Baharu, Suirapon Petch-Vra telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said di pejabatnya.

Mazlan berkata, Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd terpilih daripada 48 syarikat yang memasuki tender bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan berkenaan dan ia dipilih setelah lembaga tender meneliti cara kerja yang dibuat selian disyorkan oleh ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semasa kerja-kerja pembersihan itu dibuat, ia akan dipantau dengan teliti oleh JKR supaya ia tidak merosakkan straktur yang sedia ada.

"Setiap kerja yang dibuat, JKR akan pantau dengan ketat kerana kita takut struktur yang ada akan rosak ," katanya.

Mazlan berkata, setelah kerja-kerja pembersihan itu selesai, struktur bangunan akan diteliti oleh pakar sebelum reka bentuk baru diputuskan kemudian bagi menjamin keselamatannya.

"Bentuk asal tetapi reka bentuk baru bagi mendapat kepercayaan orang ramai yang stadium itu tidak akan runtuh lagi dan yang paling penting kita kena lihat dengan teliti bagaimana cara pembinaan semula setelah kajian dijalankan oleh pakar," katanya.

SSMZA yang dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008 dengan harga kira-kira kira-kira RM292 juta, runtuh bumbung utamanya pada 2 Jun tahun lepas setelah setahun ia digunakan.

Sementara itu Mazlan berkata, kedatangan rombongan Thailand berkenaan adalah bagi meninjau peluang-peluang pelaburan terutama di bidang pelancongan.

Katanya kerajaan Terengganu mencadangkan agar penerbangan daripada Thailand melalui Bangkok, Kok Samuel (kawasan pelancongan) dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

"Janeral Konsulat di Kota Baharu, Suirapon Petch-Vra akan mengaturkan supaya wakil daripada syarikat penerbangan Oriental Express datang ke Terengganu secepat mungkin bagi membincangkan perkara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment