Sunday, July 4, 2010

Modenas FortyOne harap tuah laman sendiri

Pasukan berpangkalan di Terengganu, Modenas FortyOne Racing mengharapkan tuah laman sendiri pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, 9-10 Julai ini.

Ditubuhkan pada 2009, pasukan ini mempamerkan aksi memberangsangkan dalam kategori Bawah 17 Wira dengan penunggang utama, Mohd Syawalludin Mohd Zaki kini menerajui kedudukan keseluruhan dengan 60 mata.

Rakan sepasukannya, Luqman Shakiemi Hakim dan Ahmad Afif Amran masing-masing di tangga kesembilan dan 10 dengan 28 dan 25 mata. Pesaing utama Syawal adalah penyandang juara, Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) yang ketinggalan tiga mata.

Pengurus pasukan, Nor Azlan Amran yakin pusingan kali ini menjadi episod penting perebutan mahkota kejuaraan dengan tekanan semakin memuncak buat pasukan tuan rumah untuk melebarkan penguasaan.

“Dengan kejuaraan menghampiri pertengahan musim, saya tidak nafikan tekanan mula dirasai, terutama Syawal kerana dia adalah yang paling berpengalaman di kalangan ketiga-tiga penunggang,” kata Nor Azlan.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut diburu lima penunggang lain yang pasti akan memberikan saingan sengit dalam usaha merampas tangga teratas. Namun saya yakin Syawal dan Afif juga mampu menanganinya, sementara Luqman terus menimba pengalaman berlumba.”

No comments:

Post a Comment