Sunday, July 4, 2010

Sogok Wartawan RM300 PRK Kuala Terengganu Tidak Berasas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menutup kes berhubung tuduhan menyogok RM300 kepada wartawan yang membuat liputan pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew berkata SPRM tidak menjumpai elemen rasuah dalam dakwaan tersebut.

Menurut kenyataan dan bukti yang diperolehi sewaktu penyiasatan dijalankan, timbalan pendakwaraya mendapati ianya gagal memenuhi 'ramuan' bagi kesalahan rasuah, katanya di Dewan Rakyat kelmarin.

Liew berkata perkara itu disiasat selama tiga bulan dan wang yang ditemui daripada dakwaan percubaan memberi rasuah itu, telah diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, sesuai dengan tuntutan undang-undang.

Beliau menegaskan demikian sewaktu menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) yang menyifatkan insiden itu sebagai satu kes rasuah yang "cukup jelas".

Teo merujuk kepada laporan SPRM yang dibuat oleh dua wartawan mengenai dakwaan tersebut. Mereka adalah antara berbelas wartawan yang didakwa menerima RM300 dalam sampul surat dari kakitangan pusat media kementerian penerangan.

Ia berlaku sehari menjelang pilihan raya kecil tersebut pada 17 Januari.

Teo menyifatkan alasan bagi suruhanjaya itu tidak dapat mengambil tindakan - yang dikatakan diberikan oleh pegawai SPRM yang tidak dikenalpasti dalam laporan Straits Times News - sebagai benar-benar tidak masuk akal.

Menurutnya, adalah mustahil SPRM tidak dapat mengenalpasti pegawai yang dituduh menyogok wartawan, kerana empat wartawan Malaysiakini yang memulangkan sampul surat bersama wang tersebut dan dua wartawan Merdeka Review yang membuat laporan polis mengenainya, telah mengenalpasti nama pegawai media berkenaan.

Pada 16 Januari 2009, dua orang wartawan MerdekaReview, Chan Wei See dan Chen Shaua Fui yang membuat liputan dalam PRK Kuala Terengganu ketika itu, masing-masing telah diberikan satu sampul surat berwarna putih yang mengandungi enam keping wang kertas bernilai RM50 (jumlah RM300).

Seorang pegawai bernama Jagjit Singh telah memberikan sampul surat sedemikian kepada belasan orang wartawan yang berada di pusat media Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Chan dan Chen telah membuat laporan polis pada kira-kira jam 6.30 petang hari itu, meminta agar polis menyiasat sama ada pemberian wang ini adalah sogokan wang untuk merasuah wartawan.


"Oleh yang demikian juga, wang yang terlibat dalam aduan berkenaan telah dilucuthak dan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan berdasarkan peruntukan undang-undang."


Liew menjelaskan kepada MerdekaReview selepas itu, bahawa wartawan yang membuat laporan ini gagal menyatakan "kegunaan" wang ini.

Beliau menambah, "Sekiranya pemberi wang itu meminta kamu melakukan sesuatu untuk kerajaan, atau calon, atau menulis sesuatu yang baik untuk kerajaan, calon, maka itu adalah rasuah, sogokan."

Oleh yang demikian, Liew menegaskan, tiada bukti menunjukkan bahawa RM300 yang diberikan kepada wartawan itu bertujuan untuk rasuah, jadi pihaknya gagal membawa siapa-siapa ke mahkamah dalam kes ini. Beliau berkata, "Malah wartawan yang membuat laporan turut mengatakan bahawa mereka tidak tahu apakah tujuan wang ini (diberikan)."

Selain itu, Timbalan Menteri ini menafikan pegawai SPRM pernah mengeluarkan kenyataan kepada New Straits Times bahawa SPRM tidak akan menyiasat kes tersebut, sebaliknya SPRM telah membuka dua Kertas Siasatan mengenai dakwaan yang dibuat. Bagaimanapun, keputusan berhubung kes ini telah dibuat oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya di SPRM.

No comments:

Post a Comment