Friday, July 2, 2010

Pelabuhan Kemaman Dicadang Hab Perdagangan

Kerajaan negeri Terengganu diharap menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab perdagangan barangan yang dibawa masuk dari negara rantau Asia untuk pasaran Pantai Timur.

Yang dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata pelabuhan yang terletak di Teluk Kalong itu dilihat lokasi paling strategik untuk tujuan itu.

"Sebagai negeri yang bergantung kepada hasil minyak mentah, hab perdagangan ini boleh dilihat sebagai sumber pendapatan baru untuk Terengganu jika minyak sudah tidak ada nanti," katanya ketika ditemui pada seminar Mempromosi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2010 kali ke-tujuh yang akan diadakan di Nanning, Guangxi, China Oktober ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Timur Hasziah Mohd Yazid dan Naib Setiausaha Sekretariat ekspo berkenaan, Gong Qijun.

Katanya, berbanding pelabuhan lain seperti Pelabuhan Klang di Selangor atau Pelabuhan Pasir Gudang di Johor, pelabuhan Kemaman paling dekat dengan negara seperti China, Hong Kong dan Vietnam.

"Sudah tentu barangan yang diimport dari negara-negara itu dapat dijual dengan lebih murah kerana kosnya berkurangan berbanding jika ia dihantar ke pelabuhan di Selatan atau di Pantai Barat terlebih dahulu. Ia akan menguntungkan penduduk Pantai Timur secara keseluruhannya," katanya.

Tengku Ismail, yang juga ahli lembaga pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, berkata yayasan itu kini sedang menyiapkan kertas kerja berhubung cadangan tersebut yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.

"Jika kerajaan bersetuju, ia bakal menjadi hab perdagangan pertama seumpamanya di Pantai Timur.

"Infrastruktur asas mungkin mencecah RM50 juta. Dengan keluasan 80 hekatar hingga 120 hekatar, kawasan berkenaan akan ditempatkan gudang-gudang dan pelabuhan pedalaman. Dalam masa sama, ia juga akan melonjakkan eksport barangan kita," katanya.

Menurutnya, cadangan itu juga selari dengan perancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam menjadi pemangkin sektor ekonomi yang lebih rancak di negeri-negeri terlibat.

"Ia juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam jangka masa panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment