Wednesday, July 7, 2010

Rakyat tiga DUN Parlimen KT tidak ‘dianaktirikan’

Mesra...Ahmad Said menyatakan sesuatu kepada salah seorang pelajar DUN Wakaf Mempelam yang menerima e-Book semalam. - Gambar Zulkifli Putra

Kerajaan negeri Terengganu adil dan tidak ambil kira faktor sokongan dan politik.

Adalah tidak benar dan tersasar jika ada yang menuduh kerajaan negeri 'menganaktirikan’ penduduk di tiga Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Walaupun Barisan Nasional (BN) hanya memang di DUN Bandar namun kerajaan tidak sekali-sekali mengabaikan kepentingan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok.

Biarpun pengundi di tiga DUN itu memilih pembangkang tetapi ia tidak segala-galanya kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) tetap mengambil berat keadaan dan masalah penduduk di situ tanpa dasar pilih kasih berbanding kawasan lain.

Ini dapat dibuktikan apabila murid Tahun Empat, Lima dan Enam di ketiga-tiga kawasan dikuasai pembangkang itu turut dibekalkan e-Book sumbangan Kerajaan Negeri sebagaimana pelajar di DUN lain.

“Di tiga DUN ini (Wakaf Mempelam, Baru Burok dan Ladang), walaupun UMNO dan BN ditolak (oleh pengundi) namun kita (kerajaan) tidak pernah menolak rakyat kerana kita pentingkan masa depan anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan e-Book dan Baucer Pakaian Sekolah-sekolah Rendah DUN Wakaf Mempelam yang diadakan di Dewan Terbuka, Kompleks Seri Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir menyaksikan penyerahan e-Book kepada 484 pelajar DUN itu, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong dan Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, selama 20 tahun DUN Wakaf Mempelam dikuasai pembangkang, kerajaan masih tetap mengambil berat mengenai kepentingan rakyat.

Bagaimanapun katanya, beliau sedih kerana segala usaha, bantuan dan sikap ambil berat yang diberikan kerajaan BN tidak pernah dihargai rakyat di sana apabila memilih pembangkang pada setiap pilihan raya umum.

No comments:

Post a Comment