Sunday, July 11, 2010

Tompokan minyak di perairan Terengganu

Satu lapisan tompokan minyak dikesan berhampiran platform dikendalikan syarikat cari gali bersama Petronas iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc dan Newfield Peninsular Malaysia Inc, kira-kira 240 kilometer dari perairan pantai Terengganu.

Petronas dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam menyebut, paip pengeluaran di daerah terbabit ditutup sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan pencemaran.
Lapisan tompokan minyak itu dikesan, Selasa lalu.

Kenyataan itu menambah, pasukan kecemasan sudah dikejarkan ke lokasi kejadian dan kerja pembersihan sebahagian kawasan yang dikesan tompokan minyak itu sudah dimulakan kontraktor pembersihan.

Pemantauan diteruskan melalui udara dan bawah laut bagi mengenal pasti punca menyebabkan tompokan minyak itu.

"Usaha untuk mengenal pasti punca tompokan minyak itu diteruskan menggunakan kenderaan bawah air yang digerakkan secara jarak jauh serta ujian paip bawah laut.

"Pasukan dari Industri Minyak Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG) dan Asia Timur Response Ltd sudah melakukan langkah menangani tompokan minyak itu daripada merebak ke kawasan lebih luas," katanya.

Kenyataan itu menyebut, sebuah pesawat Hercules C-130 juga dilihat terbang keluar dari Kerteh untuk memantau tompokan minyak serta bersiap sedia untuk tindakan penyelesaian. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, sumber memberitahu, selain daripada paip, dua platform pengeboran minyak terdekat dengan kesan tompokan iaitu Bekok dan Tapis, juga ditutup sementara untuk membantu usaha mengesan punca kejadian.

No comments:

Post a Comment