Penubuhan pasukan Benua Terengganu dianggap satu idea bernas oleh pelumba kelahiran negeri itu, tetapi hasrat mereka mendapatkan khidmat jaguh handalan seperti Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman, tahun depan mungkin tidak akan kesampaian.
Pasukan Benua Terengganu yang masih dalam proses pendaftaran dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu mensasar menghantar lapan pelumba terbaik Terengganu ke Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.
Antara pelumba diharap dapat menyarung jersi sulung pasukan benua dari Pantai Timur ialah Raja Pecut LTdL 2009, Anuar dan juara kebangsaan, Adiq yang kini masing-masing bersama pasukan luar negara, Geumsan Ginseng Asia dari Korea dan Drapac Porsche dari Australia.
“Saya rasa idea penubuhan pasukan Benua Terengganu sangat baik,” kata Adiq yang kini giat berlatih di Melbourne untuk persiapan menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel. “Saya berminat untuk menyertai mereka, tetapi bergantung kepada kontrak dan persetujuan ketua jurulatih, John Beasley.”
Selain Anuar dan Adiq, 10 lagi pelumba turut disenarai pendek - Mohd Zamri Salleh, Mohd Harrif Salleh, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Yusuf, Mohd Faiz Sharifudin Abdul Kadir, Mohd Sobri Abdullah, Ahmad Haidar Anuawar, Nur Rizuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali dan Amir Mustafa Rusli.
No comments:
Post a Comment