Generasi muda kini perlu mencontohi semangat perjuangan generasi lalu yang begitu menghargai erti sebuah kemerdekaan sehingga sanggup menjahit sendiri Jalur Gemilang untuk dikibarkan, kata seorang bekas wartawan Hashim Salleh.
Hashim, 73, yang juga bekas anggota tentera di bawah pentadbiran British di Singapura, berkata kini semangat menghargai kemerdekaan di kalangan generasi sekarang seolah-olah sudah luntur mungkin disebabkan mereka dilahirkan di zaman senang kerana tidak pernah merasai pahit getir perjuangan.
"Walaupun sekarang Jalur Gemilang boleh dibeli di mana-mana kedai, masih ada yang tidak ambil peduli untuk mengibarkannya menjelang ulang tahun kemerdekaan negara," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.
Hashim juga berkata perjuangan generasi lalu, terutama yang ditunjangi guru-guru agama, cukup hebat bagi memerdekakan negara tetapi kurang diketahui umum kerana masalah komunikasi yang terhad.
Katanya guru-guru agama yang mengajar di pedalaman banyak memberi semangat kepada orang kampung bagi memperjuangkan kemerdekaan negara.
"Dulu orang kampung begitu taat kepada pemimpin walaupun mereka tidak ada pelajaran, kerana dia yakin kepada pemimpin mereka berjuang untuk membebaskan tanah air," katanya.
Katanya, bagi pemimpin peringkat pertengahan atau mereka yang bekerja dengan kerajaan, mereka tidak mimpi untuk mendapat kemerdekaan kerana kebanyakan yang betul-betul berjuang adalah orang-orang kampung bersama guru-guru agama terutama lepasan daripada Maktab Perguruan Tanjung Malim.
Hashim yang merupakan seorang penulis dan penyajak berkata, beliau berkhidmat dengan tentera British selama 12 tahun bermula pada 1958 dengan memainkan peranan dalam bahagian agama.
"Sebelum ke Singapura, kita dah ada pengisian agama, jadi mereka beri kita peranan jaga masjid di sana," katanya yang kini menjadi Imam sebuah surau di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir.
Sementara itu bagi wanita warga emas, Ngah Muda, 76, berkata, beliau sedih setiap kali teringatkan zaman pemerintahan Jepun pada tahun 40-an, susahnya tiada bandingan di mana makanan, kain baju sukar diperolehi.
"Usahkan nasi, ubi kayupun sukar dapat. Kita cuma makan hampas sagu saja bagi alas perut," katanya yang kini tinggal bersama anak dan cucunya di Kampung Seberang Tuan Chik Haji dekat sini.
Katanya, dia masih ingat semasa berumur tujuh tahun, waktu hendak pergi belajar mengaji Al-Quran, tiba-tiba melihat berpuluh kapal terbang perang Jepun terbang rendah dan masa itu semua orang bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Saya masih ingat ramai perempuan-perempuan muda dikumpul dan dilarikan askar Jepun. Masa itu juga setengah-setengah ibubapa segera menjodohkan anak-anak mereka bagi mengelak dilarikan askar Jepun," katanya.
Namun kini, setelah negara mencapai kemerdekaan, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kesejahteraan pelbagai lapisan rakyat, katanya.
No comments:
Post a Comment