Wednesday, August 4, 2010

Ahmad Said bergelar Datuk Seri (Dato’ Seri)

Sidang media oleh Datuk Mazlan tengah hari tadi.

Rupa-rupanya gurauan Datuk Dr Abdullah Md Zin semalam jadi kenyataan.

Datuk Ahmad Said petang tadi menyertai raptai menerima darjah kebesaran di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman tengah hari tadi mengesahkan Menteri Besar Terengganu itu akan menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mazlan juga mengumumkan Tengku Seri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, mengetuai senarai tujuh orang penerima darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-48 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin esok.

Tengku Baharuddin yang merupakan adinda kepada Tuanku Mizan, dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Semalam, ketika berucap pada majlis perasmian Medan Selera Jerteh bernilai RM3 juta di bandar Jerteh , Ahli Parlimen Besut itu ‘dengan sengaja’ menyebut Ahmad Said sebagai ‘Datuk Seri’.

Di hadapan orang ramai kira-kira 2,000 yang hadir pada majlis itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri itu mengatakan tidak apalah memanggil beliau sedemikian – bukan sekadar Datuk – kerana ‘gelaran’ itu akan datang juga.

Dr Abdullah bergurau sambil Ahmad Said tersenyum sahaja.Ada yang terpingga-pingga dan ada yang turut tersenyum mengenai apa yang disebut oleh Dr Abdullah itu.

Mazlan pada sidang media itu berkata beliau sendiri akan menerima Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z.) yang mambawa gelaran Datuk.

Empat orang dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka terdiri Mufti Terengganu Dr Alias Abdullah, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Osman Muda, pegawai Pejabat Sultan Terengganu Mohd Yasin Awang dan peguam Zamani Mohammad.

Mazlan memberitahu pengurniaan darjah itu akan berlangsung di Istanah Maziah, di Kuala Terengganu pada 10.30 pagi esok dan akan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu.

Pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri Terengganu tidak diadakan pada tahun 2008 dan 2009
.

No comments:

Post a Comment