Thursday, August 5, 2010

Pemuda Dikhuatiri Lemas Terjun Sungai Lari Dari Serbuan Polis

Seorang pemuda Mohamad Ismail, 23, dikhuatiri mati lemas apabila terjun ke dalam sungai Nerus, di Kampung Jeram dekat Kuala Terengganu ketika polis membuat serbuan di kawasan itu petang Selasa.

Penguasa Bomba Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Terengganu Mohd Nor Yazid berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 5.20 petang dan bergegas memulakan operasi mencari dan menyelamat.

"Operasi mencari dan menyelamat semalam terpaksa dihentikan pada kira-kira 7.30 petang apabila hari sudah gelap manakala air di sungai berkenaan begitu keruh akibat hujan dengan paras air setinggi empat dan lima meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Beliau berkata operasi mencari di kawasan sekitar sungai berkenaan diteruskan bermula 8 pagi.

Katanya kejadian berlaku pada kira-kira 5 petang semasa mangsa yang berasal dari Kampung Merchang bersama tiga lagi rakannya berada di kawasan rekreasi terbiar di tepi sungai kampung berkenaan, dipercayai sedang menagih dadah.

Katanya seorang daripada rakannya berjaya diberkas manakala dua lagi melarikan diri.

Sementara itu ayah mangsa Ismail Jusoh, 55, ketika ditemui di tempat kejadian berkata kali terakhir beliau berjumpa anaknya itu pagi semalam dan terus tidak pulang sehinggalah dimaklumkan oleh polis mengenai kejadian yang berlaku.

"Anak saya yang keempat daripada tujuh beradik itu, baru keluar dari penjara Bentong kira-kira sebulan lepas kerana terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang. Saya terima kejadian ini sebagai takdir," kata yang merupakan seorang penternak ikan dalam sangkar.

No comments:

Post a Comment