Wednesday, August 4, 2010

Mox-Linde Akan Bina Kilang Co2 Di Terengganu

MOX-Linde, sebuah syarikat di bawah The Linde Group, akan melaburkan RM60 juta untuk membina kilang karbon dioksida (CO2) di Terengganu.

Dijadualkan untuk mula beroperasi menjelang akhir 2011, kilang baharu itu akan menjadi kilang CO2 berketulenan tinggi yang terbesar di negara ini dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200 tan metrik sehari, kata syarikat itu.

CO2 yang ditulenkan digunakan dengan meluas dalam industri makanan dan minuman.

"MOX-Linde adalah pengeluar gas industri terbesar di Malaysia.

"Sebaik sahaja beroperasi, kilang baharu kami di Terengganu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran MOX-Linde kepada 450 tan metrik sehari," kata Pengarah Urusan MOX-Linde Wong Siew Yap dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kilang baharu itu akan menambah 60 peratus kepada jumlah pengeluaran CO2 Malaysia.

Baru-baru ini, MOX-Linde mengumumkan pelaburan RM200 juta untuk membina kilang pengasingan udara di Pasir Gudang yang dijadualkan untuk dimulakan menjelang hujung tahun ini.

Tahun lepas, ia memulakan operasi tiga kilang bernilai RM75 juta di Banting, Selangor, Kulim, Kedah dan Kuantan, Pahang.

Syarikat itu juga sedang membina stesyen pengisian semula CO2 baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment