Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil pendekatan kreatif untuk menggalakkan pensyarahnya kekal aktif sepanjang bulan Ramadan dengan menganjurkan pertandingan menulis artikel.
Naib Canselornya Prof Dr Aziz Deraman berkata pertandingan kali kedua diadakan itu antaranya bertujuan meningkatkan inovasi di samping memperbanyakkan hasil penulisan pensyarah UMT.
"Kita tidak mahu pensyarah-pensyarah merasa mengantuk pada bulan puasa sebaliknya kita mahu mereka memperbanyakkan kerja-kerja penulisan," katanya semalam.
Aziz berkata kali pertama pertandingan diadakan pada bulan puasa tahun lepas, pensyarah UMT menghasilkan 240 artikel dalam kategori yang ditawarkan.
Pertandingan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 meliputi penulisan manuskrip, artikel serta jurnal dalam pelbagai bidang, katanya.
Aziz berkata karya yang memenangi setiap kategori akan dibukukan dan dihantar untuk pembentangan pada persidangan atau jurnal antarabangsa.
No comments:
Post a Comment