Tuesday, August 24, 2010

Broker Dan Kerabat Diraja Dituduh Palsu Dokumen Libatkan Tuanku Mizan

TENGKU Nikman Tengku Mahmud (dua dari kiri) dan Wan Latef Wan Embung didakwa atas memalsukan dokumen perjanjian pembelian tanah balak di hutan simpan Tembat, Hulu Terengganu di antara sebuah syarikat dengan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bernilai RM102 juta seluas 5113 hektar dan RM12 juta seluas 568 hektar dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Berita Harian

Seorang broker tanah dan seorang kerabat diraja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam kerana dituduh memalsukan dokumen melibatkan penjualan balak yang belum ditebang bernilai lebih RM114 juta di tanah milik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Bagi tuduhan pertama, Wan Lateff Wan Embong, 54, dari Kampung Wakaf Mempelam dekat Kuala Terengganu, didakwa memalsukan satu dokumen iaitu "agreement for sale of standing trees" kononnya antara Tuanku Mizan dan International Ship Industri (M) Sdn Bhd, melibatkan tanah seluas 5,113 hektar di kawasan Hutan Simpan Tembat, Mukim Hulu Terengganu, dengan anggaran nilai RM102 juta.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 30 September dan 5 Oktober tahun lepas di Pejabat Tetuan Ahmad Shahabudin & Co, Peguam Bela & Peguam Cara beralamat di 304 dan 305, Tingkat 3, Wisma Kokitab di sini.

Bagi tuduhan kedua pula, Wan Lateff dituduh telah memalsukan satu dokumen iaitu "agreement for sale of standing trees" kononnya antara Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan International Ship Industri (M) Sdn Bhd.

Ia melibatkan melibatkan kawasan tanah balak seluas 568 hektar di kawasan yang sama dengan anggaran nilai RM12 juta.

Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu dengan niat supaya dokumen palsu itu dapat digunakan bagi tujuan menipu dan ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Wan Lateff, yang diwakili peguam Nodin Kassim, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abdul Majid.

Tertuduh kedua, Tengku Nikman Tengku Mahmud, 56 dari Kajang, Selangor, dituduh memalsukan dokumen yang sama pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dia juga dituduh bersubahat melakukan perbuatan itu pada 5 Ogos dan 5 Okt tahun lepas di tempat yang sama.

Tengku Nikman, merupakan pengajar di sebuah IPTS dan bekas penolong pendaftar sebuah universiti tempatan, yang tidak diwakili oleh sebarang peguam, juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya S Devanandan kemudian memohon kepada mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM150,000 seorang dengan alasan ia merupakan satu kes yang serius kerana melibatkan reputasi Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Beliau juga meminta supaya kedua-dua tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan memohon supaya kes tersebut dibicarakan secara bersama.

Setelah mendengar rayuan daripada dari kedua-dua tertuduh, Hakim M Bakri membenarkan Wan Lateff diikat jamin sebanyak RM30,000 manakala Tengku Nikman diikat jamin sebanyak RM20,000.

Mahkamah turut memerintahkan supaya kedua-dua tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya supaya kes itu dibicarakan bersama.

Hakim M Bakri kemudian menetapkan 22 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu bagi memberi peluang kepada Tengku Nikman untuk melantik peguam.

No comments:

Post a Comment