Sunday, August 29, 2010

Bukan Islam berilmu sahaja boleh tazkirah

Ketua Dewan Ulama PAS,Datuk Harun Taib berkata, orang bukan Islam boleh memberi ceramah atau tazkirah kepada orang Islam termasuk di dalam masjid atau surau sekiranya mereka mempunyai ilmu agama Islam yang tinggi.

Katanya, di negara Barat ramai cerdik pandai, profesor dan sebagainya yang bukan Islam tetapi mereka mengajar orang Islam mengenai Islam.

"Hanya orang bukan Islam yang ada ilmu agama Islam yang cukup sahaja boleh beri tazkirah kepada umat Islam. Kalau ada orang Islam yang tak cukup ilmu agama, mereka juga tak boleh beri tazkirah," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Ditanya bagaimana sekiranya orang bukan Islam yang menyampaikan tazkirah tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam, Harun menjelaskan ia adalah dilarang.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu diminta mengulas isu Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan serta tazkirah di dalam Surau Al-Huda di Kajang Sentral Ahad lalu.

Bagaimanapun dalam isu berkenaan, Harun berkata, tindakan Nie Ching itu bukan satu kesalahan atau menyalahi hukum Islam.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut hanya melibatkan isu adab dan bukan persoalan sama ada bukan Islam dibenarkan masuk atau tidak ke dalam rumah ibadat berkenaan.

Katanya, persoalan itu bukan isu kerana muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-90 pada 1 Mac lalu telah memutuskan individu dan pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan surau termasuk ruang solat utama.

"Ini mungkin (soal) adab iaitu satu perkara lain yang harus diperkirakan, macam masuk ke Masjid Jamek di Kuala Lumpur harus pakai tudung," katanya pada sidang akhbar.

Salahuddin berkata, tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang bukan Islam masuk ke dalam masjid dan surau adalah bertentangan dengan muzakarah itu.

Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment