Thursday, August 26, 2010

Hadiah Buat Ku Faridah - Berjaya Bawa pulang 3 Anaknya Dari Lombok

KU Faridah Ku Man gembira di samping anak-anaknya, (dari kiri) Puteri Balqis, Wan Mohd. Hazwan Harith Wan Mohd. Hilmi, Wan Mohd. Haiman Harith Wan Mohd. Hilmi, Dewi Helen Fiona dan Mohd. Haikal Daniel di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu, kelmarin.

Dua bulan lalu, Ku Faridah Ku Man, 33, yang menikah dengan seorang jejaka Lombok, Indonesia terpaksa meninggalkan tiga anak hasil perkahwinan tersebut di negara berkenaan.

Undang-undang Indonesia menjadi penghalang utama kepadanya untuk membawa mereka pulang bagi menikmati kehidupan lebih sempurna di Malaysia.

Tetapi semalam, penantian Ku Faridah yang berasal dari Kampung Pueh, Kuala Berang berakhir apabila ketiga-tiga anak hasil perkahwinan dengan jejaka Lombok yang dikenali sebagai Rosman iaitu Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4, dan Dewi Helen Fiona, 2, berjaya dibawa pulang.

''Bagi saya, semua ini adalah berkat Ramadan dan hadiah Aidilfitri. Kami tiba di sini pukul 7 malam semalam dengan menaiki feri selama dua jam selepas bermalam di Batam,'' katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Pueh kelmarin.

Pada Julai lalu, kisah Ku Faridah anak kedua daripada lapan beradik yang melalui kehidupan perit di negara tersebut setelah ditinggalkan suami dua tahun lalu mendapat liputan meluas media.

Keluarganya merayu agar dia dibantu dan sekretariat UMNO Kuala Berang yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat dengan kerjasama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta berjaya membawanya pulang.

Menurut Ku Faridah, pada 8 Ogos lalu, tiga hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, dia bersendirian ke Lombok semula dan berada selama seminggu di daerah tersebut.

''Saya bertekad untuk ke sana kerana saya rindu anak-anak. Saya berjanji bahawa saya tidak akan pulang tanpa mereka,'' katanya.

Namun dia bersyukur apabila disambut baik oleh keluarga bekas mertuanya dan mereka juga tidak menghalang anak-anak itu dibawa pulang.

"Ketika saya di sana, saya sempat berpuasa dengan keluarga mertua selama tiga hari dan saya amat gembira kerana turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Sosial Jakarta dan polis.

"Keluarga mertua berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik selain turut meminta maaf terhadap apa yang berlaku sepanjang saya berkahwin dengan anak mereka," katanya.

Jelas Ku Faridah, ketika berada di sana, bekas suaminya yang kini bekerja di sebuah ladang di Johor ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar dia dan anak-anak.

"Ayah mereka menyatakan bahawa dia ikhlas membenarkan anak-anak dijaga oleh saya dan turut memberitahu bahawa dia akan mengunjungi kami ketika Aidilfitri nanti jika berkesempatan," jelasnya.

Ku Faridah turut mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu Wan Mohd. Haiman Harit Wan Mohd. Hilmi, 13, dan Wan Mohd. Hazwan, 11 tahun.

Utusan

No comments:

Post a Comment