Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang turut terbabit dengan sidang televideo itu memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai kegiatan perniagaan dan usahawan wanita di Terengganu.
Dua lagi sidang televideo antara Perdana Menteri ialah dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Hari Wanita peringkat kebangsaan 2010 bertemakan `1Azam-Wanita 1Malaysia di adakan di Dewan Cancelor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, semalam.
Perdana Menteri turut merasmikan perayaan Hari Wanita berkenaan.
Najib Tun Razak melancarkan Hari Wanita Kebangsaan 2010 sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor dan Shahrizat Abdul Jalil di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam. - utusan
Dalam ucapannya Najib meminta majikan di negara ini memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk bekerja separuh masa supaya mereka boleh mencari nafkah dan pada masa yang sama, menunaikan tanggungjawab sebagai ibu.
Perdana Menteri berkata, terdapat pelbagai pilihan bagi majikan untuk menggalakkan kaum wanita menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang menerusi waktu bekerja yang longgar termasuk bekerja dari rumah atau pada waktu anjal.
"Contohnya seperti bekerja beberapa jam sehari. Pada waktu puncak iaitu masa makan tengah hari pekerja tetap boleh berehat dan tempat mereka diganti oleh pekerja wanita yang disebutkan tadi," katanya.
Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, golongan wanita masih berdepan cabaran termasuk tahap penyertaan dalam pasaran tenaga buruh dan politik yang masih rendah, meskipun sudah mengecapi kemajuan serta kejayaan dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, dalam pasaran tenaga buruh, wanita mencatatkan penyertaan sebanyak 46.4 peratus, manakala perwakilan wanita di Dewan Rakyat hanya 10.4 peratus, 24.3 peratus di Dewan Negara dan lapan peratus di Dewan Undangan Negeri.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa undang-undang dan peraturan yang memerlukan penambahbaikan demi kesejahteraan wanita dan keluarga.
Beliau berkata, sokongan kerajaan yang berterusan membolehkan wanita mengecapi kejayaan apabila semakin ramai wanita menerajui organisasi penting seperti bank pusat, universiti awam dan suruhanjaya sekuriti.
"Tidak kurang juga wanita yang memegang jawatan berprofil tinggi dalam pasukan polis dan tentera serta menjadi hakim mahkamah rayuan dan terkini hakim syarie.
"Hasil penyelidikan Grant Thornton International menunjukkan Malaysia menduduki tempat kelima di seluruh dunia dengan 31 peratus daripada jawatan kanan dalam perniagaan sederhana dan besar dipegang oleh wanita. Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding 24 peratus untuk purata dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment