Tuesday, August 17, 2010

Ketengah Holding Sdn Bhd Jangka Untung RM19j Tahun Ini

Hamzah menyampaikan zakat kepada Wan Harujan. - Gambar Zulkifli Putra

Kumpulan syarikat perladangan, Ketengah Holdings Sdn Bhd, menjangka memperolehi keuntungan kira-kira RM19 juta tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga 31 Julai lepas, ia sudah mencatat keuntungan bersih melebihi RM16 juta, berbanding RM17 juta tahun lepas.

"Kita yakin mencapai sasaran keuntungan lebih RM17 juta yang diperolehi sepanjang tahun lepas dapat dicapai kerana kita masih ada masa lima bulan lagi," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan zakat kumpulan anak syarikat Ketengah, di Kuala Terengganu semalam.

Anak-anak syarikat yang menyerahkan zakat semalam ialah Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM244,261), YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM90,179), Ketengah Jaya Sdn Bhd (RM46,906) dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM62,255).

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Hamzah Ngah, Pengawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Wan Harujan Sulaiman serta ADUN Air Puteh, Wan Ab Hakim Wan Mokhtar.

Wan Harujan menerima zakat Rakyat Ketengah Perwira.
Ahmad Said berkata prestasi perniagaan Kumpulan Ketengah Holdings Sdn Bhd dalam bidang kelapa sawit semakin meningkat dan dijangka memperolehi pendapatan bersih melebihi RM24 juta sehingga akhir tahun ini.

Menteri Besar itu berkata, tahun lepas, zakat yang dikeluar oleh kumpulan itu meningkat kepada RM443,601 atau peningkatan 0.54 peratus berbanding RM441,225 tahun sebelumnya.

Beliau berkata keseluruhan hasil yang dikeluarkan oleh Ladang Ketengah Jaya Perwira, Ladang Ketengah Jaya dan Ladang YIT-Ketengah Perwira seluas 6,487 hektar berjumlah 119,700 tan metrik.

Manakala Kilang Rakyat Ketengah Perwira telah berjaya memproses sejumlah 259,219 tan metrik tandan buah segar (BTS), katanya.

Ahmad Said berkata, harga kasar BTS pada 2009 turun kepada RM494 setan metrik, daripada sekitar RM625 tan metrik pada 2008.

Walaupun harga bukan merupakan faktor peningkatan keuntungan tersebut, namun kecekapan dalam menguruskan syarikat merupakan faktor utama dalam perancangan ini, katanya.

Sementara itu, Wan Harujan berkata Maidam telah berjaya memungut zakat sebanyak RM25 juta sehingga 31 Julai lepas.

Beliau berkata dalam tempoh sebulan bulan Ramadan ini, Maidam menjangka akan menerima zakat termasuk zakat fitrah berjumlah RM19 juta.

No comments:

Post a Comment