Tuesday, August 17, 2010

Masih Banyak Tanah Lapang Awam Yang Belum Diwartakan

Ada seluas 1,037 hektar tanah lapang awam di Terengganu belum diwartakan.

Ia sebahagian daripada jumlah keseluruhan tanah lapang awam yang belum diwartakan sebagai kawasan rekreasi di Semenanjung Malaysia sehingga Disember tahun lepas.

Jumlah sebenar tanah lapang awam di Semenanjung yang belum diwartakan ialah 19,386.69 hektar berbanding 9,180.31 hektar yang diwartakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata daripada jumlah itu, negeri Selangor telah merekodkan jumlah tanah lapang yang diwartakan paling tinggi iaitu seluas 2,283.94 hektar.

Ia diikuti oleh Pahang (1,749.64 hektar) dan Terengganu dengan keluasan 1,037.23 hektar, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, Isnin.

Katanya, rekod kementerian itu menunjukkan masih banyak tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia belum diwartakan sebagai kawasan untuk tujuan rekreasi.

"Bagi setiap 1,000 penduduk di kawasan bandar, kita harus mewartakan seluas dua hektar tanah lapang awam untuk kegunaan rakyat.

"Kalau kita buat perbandingan, Semenanjung Malaysia hanya mencapai 1.19 hektar bagi setiap 1,000 penduduk bandar...masih kurang sikit tapi kita sedang berusaha untuk meningkatkannya lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya sasaran itu mungkin agak mustahil dicapai untuk kawasan padat seperti bandaraya Kuala Lumpur yang ketika ini hanya 1.14 hektar sahaja.

Katanya, tiga faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kelewatan pewartawaan tanah lapang awam seperti ketiadaan jawatankuasa penyelarasan yang berkesan di peringkat negeri dan keperluan mendapatkan pertimbangan dan kelulusan perizaban daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Selain itu, Chor berkata terdapat tanah lapang khususnya di kawasan taman perumahan dan projek pembangunan lama yang tidak diserahkan kepada kerajaan.

Pada majlis perhimpunan itu, Chor melancarkan buku Pelan Integriti bagi tujuan meningkatkan keberkesanan mutu perkhidmatan warga kementerian itu.

No comments:

Post a Comment