Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membelanjakan hampir RM1 juta untuk golongan saudara baru di negeri itu sehingga pertengahan bulan ini melalui agihan zakat.
Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, ia merangkumi pembahagian bayaran bantuan kebajikan, bantuan modal, pembaikan rumah, bantuan kesihatan, kursus khas dan pembiayaan anak-anak ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta persekolahan.
“Kita perlu menyediakan pelbagai aktiviti untuk golongan tersebut bagi membolehkan mereka mendekatkan diri dengan agama Islam agar mereka tidak terasa dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MAIDAM Bersama Saudara Kita dan Ceria Ramadan Terengganu.FM di Kompleks Darul Hidayah semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.
Pada majlis itu juga, MAIDAM turut menyalurkan zakat Hari Raya bernilai RM490,000 kepada 1,400 orang saudara baru bagi menggembirakan mereka ketika menyambut perayaan itu kelak.
Selain itu, MAIDAM turut menerima bayaran zakat daripada Maybank Islamic berjumlah RM300,000 pada majlis berkenaan.
Mazlan memberitahu, setakat ini seramai 1,875 saudara baru yang telah mendaftar di negeri ini.
‘‘Sehingga Julai lalu, 73 orang memeluk Islam. Secara purata 10 orang berbuat demikian setiap bulan,” katanya.
Menurut beliau, golongan itu diberi tumpuan agar dapat menghayati ajaran Islam melalui pelbagai program.
Antaranya, kelas bimbingan Saudara Kita iaitu kelas fardu ain setiap dua kali seminggu di lima lokasi di negeri itu yang dihadiri kira-kira 450 orang.
Selain itu, MAIDAM turut menaja lima saudara baru mendalami ilmu agama secara formal di Institut Dakwah Islamiah Pengkalan Chepa, Kelantan dengan nilai tajaan RM10,000 setahun untuk seorang.
“Kita juga mengadakan kursus asas pengetahuan Islam, kursus jati diri, ujian pemahaman Islam, kem Ramadan, tilawah al-Quran serta Kuiz Saudara Kita peringkat negeri yang akan berlangsung pada 30 September hingga 2 Oktober ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment