Sepasang pelancong asing yang terlibat dalam pelanggaran bot di Pulau Perhentian dua hari lepas tidak patah semangat dan akan datang kembali bercuti di Terengganu satu hari nanti.
Kelly Steiro, 29, seorang jurutera dari New Zealand berkata, walaupun dia dan isterinya Tina Mariann Steiro, 30, yang berasal dari Norway, mengalami kecederaan akibat kemalangan, mereka masih ada kenangan yang begitu indah tentang Terengganu.
"Kami dilayan dengan baik disini dan walaupun kami kemalangan, suatu hari nanti kami akan datang lagi ke Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Toh Chin Yaw bersama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu Ahmad Fathil Abdul Ghani di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, semalam.
Steiro berkata walaupun semasa kemalangan itu beliau dan isterinya jatuh ke laut tetapi tidak ada satu barang kepunyaannya yang hilang dalam kejadian itu.
Keadaan Tina Mariann, kini semakin pulih dan dijangka dapat keluar dari hospital itu petang semalam.
Dalam kejadian pada 6 petang Ahad lepas, bot laju yang dinaiki pasangan itu berlanggar dengan sebuah bot membawa barang. Tina Mariann mengalami patah tulang selangka manakala suaminya hanya luka kecil.
Ahmad Fathil pula berkata Kementerian Pelancongan dijangka mengadakan mesyuarat jawatankuasa pengurusan krisis yang melibatkan jabatan-jabatan seperti Jabatan Taman Laut, Jabatan Laut, polis dan kesihatan dalam masa terdekat ini bagi mencari jalan dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi mengatasi masalah yang berlaku.
Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan kursus-kursus kepada petugas barisan hadapan pengusaha pelancongan Pulau Perhentian pada September ini bagi mengelak perkara seperti itu berulang.
No comments:
Post a Comment