Saturday, August 28, 2010

Sambung Khidmat Jurulatih Takraw Thailand Disambut Baik

Langkah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyambung kontrak jurulatih sepak takraw daripada Thailand, Vitaya Boonta untuk membimbing pasukan Terengganu sehingga Sukma 2012, dialu-alukan.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata tindakan MSNT itu adalah selaras dengan saranan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang membenarkan persatuan sukan di negeri ini menggunakan jurulatih luar negara untuk meningkatkan prestasi atlet.

"Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MSNT kerana mengekalkan khidmat jurulatih itu," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohd Shapian berkata pasukan Terengganu yang dilatih oleh Vitaya Boonta, telah berjaya memenangi pingat emas pada Sukma Melaka, malah skuad itu turut mengalami perubahan yang besar sejak kehadirannya pada Januari lalu.

Katanya buat sementara itu, MSNT meminjamkan Vitaya Boonta kepada Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu untuk melatih pemain sekolah berkenaan.

Sementara itu, tiga orang pemain daripada Terengganu telah dipilih untuk mewakili negara ke Sukan Asia di Guanzhau, China pada November ini.

Mohd Shapian berkata pemain-pemain itu ialah Shazwan Husin, Nasir Manjor (kedua-duanya tekong) dan pemain "killer" Mohd Fadzli Roslan yang kini sedang menjalani latihan pusat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketiga-tiga pemain berkenaan pernah mewakili negara pada kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok Julai lepas.

No comments:

Post a Comment