Tuesday, September 14, 2010

Adiq teruskan kayuhan di Melbourne

Selepas melepaskan rindu seketika kepada keluarga di Kemaman, Terengganu minggu lalu, jaguh berbasikal trek dan lebuh raya, Adiq Husainie Othman kembali berlatih bersama rakan-rakan senegara di Melbourne, Australia sebagai persiapan menghadapi Tour of Tasmania bermula esok.

Adiq sekali lagi akan berkayuh bersama pelumba terbaik Australia dari pasukan Drapac International Team, selepas pada Tour of the Murray River, minggu lalu dia dikecualikan pasukan daripada menyertai perlumbaan.

“Di Tasmania nanti, Drapac menghantar pelumba terbaik mereka memandangkan jelajah ini adalah yang terakhir dalam siri Piala Scody,” kata Adiq.

“Semua pelumba adalah barisan sama ditampilkan Drapac pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010.

“Saya harap dapat menyerlah kali ini bersama-sama pelumba Drapac - Peter McDonald, Stuart Shaw, Rys Pollock, David Pell dan Michael Phelan.” Pada LTdL 2010, Adiq dan pelumba-pelumba Drapac melakukan impak dalam penampilan pertama mereka di jelajah berbasikal terbesar negara itu.

Selepas Tour of Tasmania, Adiq yang mula menonjol di arena berbasikal negara selepas memenangi pingat gangsa acara scratch Kejohanan Trek Dunia Remaja di Moscow tahun lalu, akan bersiap memikul cabaran negara ke Sukan Komanwel di New Delhi pada 3 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment