Tuesday, September 7, 2010

Bayaran Pendahuluan RM2.2 Juta Untuk Penuntut Ke Luar Negara

Penyampaian bayaran pendahuluan disamping majlis berbuka puasa untuk penuntut yang akan ke luar negara.

Ibu bapa dan anak mereka yang akan melanjutkan pengajian di luar negara tentunya gembira kerana mendapat bayaran pendahuluan daripada kerajaan negeri pada satu majlis petang kelmarin di kediaman Menteri Besar.

Tahun ini, Yayasan Terengganu memperuntukkan lebih RM2.2 juta sebagai bayaran pendahuluan kepada 146 penuntut tajaannya yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai 13 Sepember ini.

Pengarah yayasan itu, Aziz Mamat berkata penuntut berkenaan akan melanjutkan pelajaran ke Russia, United Kingdom, Mesir, Jordan dan Maghribi dalam bidang perubatan, pengajian Islam dan kejuruteraan.

"Setiap daripada mereka menerima bayaran pendahuluan antara RM3,000 dan RM21,133 bergantung kepada pengajian dan negara tempat mereka belajar," katanya.

Pelajar bukan Melayu turut mendapat bayaran pendahuluan.

Beliau berkata selepas majlis penyampaian bayaran pendahuluan penuntut tajaan Yayasan Terengganu oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri pada majlis berbuka puasa di Seri Iman Kuala Terengganu petang kelmarin.

Aziz berkata setiap penuntut akan memperoleh antara RM24,000 hingga RM1 juta untuk sepanjang tempoh pengajian mereka antara empat dan enam tahun.

Menteri Besar menasihati pelajar Terengganu agar membalas budi kerajaan dengan mendapatkan keputusan cemerlang, selain menjaga imej negeri dan Malaysia ketika di luar negara.

“Kita berharap dengan penghantaran yang semakin ramai anak Terengganu dalam bidang kedoktoran dan kejuruteraan, jumlah doktor dan jurutera yang ketika ini berkurangan dapat ditampung dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kerajaan Terengganu akan menjamin kebajikan serta keperluan penuntut negeri di luar negara akan terjaga dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau mencabar pelajar supaya mendapat ijazah kepujian kelas pertama agar pinjaman dapat ditukar menjadi biasiswa selain habuan RM5,000 kerana pencapaian itu.

No comments:

Post a Comment