Tuesday, September 21, 2010

BN Dijangka Tidak Sukar Kekalkan Kemenangan - Nasir

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan di kawasan Parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan setelah melihat kesungguhan ketiga-tiga sayap utama parti iaitu Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita yang begitu serius mendekati pengundi peringkat akar umbi.

“Jika sebelum ini kebanya-kan sayap parti tertumpu pada golo-ngan mereka semata-mata, namun kini kesemuanya telah mengambil langkah untuk bergabung serta melaksanakan program secara bersama dan perkara ini seharusnya dipuji.

“Dengan adanya gerakan bersama ini secara tidak langsung mampu memperkukuhkan lagi hubungan dalam kalangan anggota parti, selain memiliki peluang yang lebih jelas berhubung matlamat parti,” kata Mohd Nasir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Kuala Nerus di pekarangan pejabat UMNO bahagian, di Seberang Takir, kelmarin.

Kira-kira 2,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pemuda Kuala Nerus, Apli Yusoff, Ketua Puteri, Aida Azam, Ketua Wanita, Khadijah Awang, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Hassan Ali, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammar Ramli Nuh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik.

Menurut beliau, memperkukuhkan sokongan peringkat akar umbi ialah fokus utama di mana pelaksanaan program turun padang adalah salah satu pendekatan yang sedang giat dilaksanakan oleh kesemua sayap utama parti itu.

No comments:

Post a Comment