Tuesday, September 21, 2010

Potensi Besar Bagi Malaysia-Kanada Kukuhkan Ekonomi Dan Perdagangan

Agensi dari Malaysia sedang menggandakan usaha untuk menarik kedatangan pelabur Kanada kerana terdapat potensi perniagaan yang besar antara kedua-dua negara yang belum diterokai, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das.

Beliau berkata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan untuk komuniti perniagaan Kanada.

"Kita telah wujudkan majlis perniagaan di Vancouver dan menghidupkan semula majlis perniagaan kita di Toronto kerana kita menerima banyak pertanyaan di kalangan pelabur Kanada tentang faedah yang bakal mereka peroleh jika melabur di Malaysia," katanya di Montreal.

Das yang berpangkalan di Ottawa, ditemui di Montreal untuk menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mulai Sabtu untuk memulakan lawatan tugas khas selama enam hari ke Kanada.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke negara tersebut, menurut Das akan meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan.

Turut berada di Montreal ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri.

Menurut beliau, ahli perniagaan Kanada telah memberi respon yang baik dalam forum perniagaan dan mesyuarat anjuran Matrade.

Terdapat banyak bidang perniagaan yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara sekiranya mereka sedar tentang potensi luas yang wujud, kata Das yang bertugas di Kanada sejak Februari 2009 selepas berkhidmat selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, iaitu menjadi individu pertama dilantik ke jawatan itu dengan akreditasi ke Uganda, Etiopia, Burundi dan Tanzania.

"Malaysia dikenali sebagai destinasi pelaburan yang menarik tetapi masalahnya ramai yang tidak sedar tentang peluang pelaburan yang terdapat di Malaysia dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

Das juga berkata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia menerima pertanyaan daripada anggota Parlimen Kanada yang berminat untuk menganjurkan lawatan perniagaan ke Malaysia.

Bagaimanapun, jarak dikenal pasti sebagai faktor penyumbang yang menyebabkan golongan usahawan di kedua-dua negara kurang berminat untuk menjalin hubungan dagangan, katanya.

Mengenai perdagangan dua hala, beliau berkata jumlah keseluruhan dagangan Malaysia adalah RM6.2 bilion pada 2008. Bagaimanapun jumlah dagangan kedua-dua negara menurun kira-kira RM5 bilion tahun lepas ekoran keadaan ekonomi global, katanya.

Baja, peralatan elektrik, perkakasan dan mesin untuk projek telekomunikasi antara barangan yang kerap didagangkan oleh kedua-dua negara.

Malaysia dan Kanada juga menjalin hubungan yang baik dalam bidang pendidikan dan sektor pelancongan berdasarkan peningkatan jumlah pelajar Malaysia di universiti Kanada dan pelancong negara itu yang melawat Malaysia.

Das berkata pada masa ini terdapat 883 pelajar Malaysia di 45 universiti di seluruh Kanada.

Kira-kira 88,000 pelancong Kanada melawat Malaysia tahun lepas berbanding 77,000 pada 2008.

No comments:

Post a Comment