Sunday, September 5, 2010

Bukan Sekadar Impian Cipta Hatrik Sukma


Pesan sudah. Kejayaan Sudah.

Malah memenuhi janji pun sudah. Itulah kesungguhan dan harapan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said terhadap atlet Terengganu.

Janji ditunaikan dan kata dikotakan.

Janji memberikan habuan kepada mereka yang berjaya melonjakkan nama Terengganu pada Sukan Sukma Melaka XIII diadakan baru-baru ini (22 Ogos 2010).

Majlis yang diadakan sempena majlis berbuka puasa di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu itu adalah kemuncak kepada janji dan danb pembakar semangat terhadap atlet Terengganu oleh Ahmad Said.

Hasilnya bukan terhenti kerana menjadi juara pada Sukan Sukma Melaka itu apabila
Terengganu berjaya mengumpul 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa tetapi kini atlet Terengganu bertaburan menjalani latihan sama ada dengan pasukan professional, negeri mahupun kebangsaan.

Tidak kurang pula yang menjalani latihan dan menyertai pertandingan luar negara, umpamanya skuad basikal.

Pada majlis penyampaian insentif kemenangan sumbangan Kerajaan Negeri itu seramai 203atlet dan 79 pegawai menerimanya. Seperti dijanjikan pemenang bagi pingat emas menerima RM5,000, perak RM3,000 gangsa, RM2,000 dan tambahan RM1,000 bagi atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan.

Atlet kanu, Siti Rajiah Ali membawa balik sebanyak RM37,000 selepas memenangi tujuh pingat emas serta memecah rekod kebangsaan.
Atlet kelahiran Marang itu turut menerima hadiah peribadi daripada Menteri Besar Terengganu berupa sebuah skuter Honda Icon selepas muncul atlet terbaik Terengganu.

Katanya, insentif ini akan diberikan kepada keluarga dan untuk simpanan peribadinya.

“Saya akan gunakan insentif ini sebaik mungkin, dengan wang ini juga ia memberi lebih
semangat untuk saya mengharumkan nama negeri ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, pasukan bola sepak pula menerima insentif terbesar apabila 18 pemain dan tiga pegawai masing-masing menerima hadiah RM5,000.

Dengan janji yang sudah dikotakan itu, harapan Ahmad Said ialah Terengganu bukan sekadar mencipta hatrik pada Sukma. Kejayaan di dua kejohanan Sukma sejauh ini iaitu di Terengganu pada Sukma ke 12 dan Sukma ke 13 Melaka sekadar permulaan.
Sukma ke 14 akan datang akan diadakan di Kuantan dan memetik kata-kata Menteri Besar, mempertahankan kejohanan adalah paling manis kerana ia sukar dilakukan berbanding mencipta kemenangan pertama.

Yang penting bagi Menteri Besar, kejayaan di Sukma akan membuka ruang lebih luas untuk atlet Terengganu mencipta nama di persada antarabangsa.

No comments:

Post a Comment